FGV: PAS bimbang nasib peneroka

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

IPOH: PAS melahirkan kebimbangan terhadap nasib peneroka rentetan daripada tindakan kerajaan mengubah entiti Felda kepada Felda Global Venture (FGV).

Pengerusi Lajnah Tanah, Peneroka Bandar dan Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat, Razman Zakaria berkata, kegusaran oleh pelbagai pihak terhadap tindakan kerajaan itu semakin menjadi realiti apabila ia telah mula menampakan kesannya.

Kata beliau, harga tawaran awam awal (IPO) pada peringkat permulaan adalah RM4.55 namun hari ini telah menjunam teruk kepada RM1.24 di dalam harga pasaran.

"Ini beerti setiap unit saham menyusut sebanyak RM3.31 dan kerugian terkumpul yang dialami oleh setiap peneroka adalah sebanyak RM2648 berdasarkan jumlah 800 unit yang ditawarkan.

"Perkembangan ini sangat menggusarkan peneroka yang akan menerima kesan terhadap kehidupan mereka," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu menjelaskan, sebahagian besar peneroka tidak faham perniagaan tentang saham serta risiko keatasnya dan kerajaan sepatutnya tidak mengambil kesempatan terhadap mereka.

Ujar beliau, dakyah Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad yang mengatakan ia akan memperolah manfaat serta keuntungan telah mempengaruhi para peneroka hingga mereka berani membuat pinjaman bank untuk perolehan saham yang ditawarkan.

"Di samping beban hutang yang sedia ada, peneroka ditambah lagi dengan bebanan hutang yang tidak sepatutnya ini.

"Lebih dibimbangi kesan terhadap 350,000 hektar tanah kerajaan yang diambil oleh Felda melalui Akta Penempatan Berkelompok yang melibatkan 120,000 peneroka," tegasnya. – HARAKAHDAILY 27/8/2015

Share on Myspace