Kongres Rakyat: Resolusi selamatkan rakyat, negara

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS Pulau Pinang mengharapkan agar Kongres Rakyat yang bakal diadakan pada September nanti dapat menghasilkan resolusi sebagai satu anjakan bagi menyelamatkan rakyat dan negara.

Pesuruhjayanya, Mohammad Fauzi Yusoff percaya buah fikiran dan idea-idea yang akan disampaikan oleh peserta kongres itu nanti akan dijadikan satu tindakan yang terbaik untuk masa depan rakyat.

Bahkan katanya, usaha PAS mengadakan kongres ini memberi keyakinan kepada rakyat bahawa PAS sebuah parti yang berprinsip dan boleh mengetuai kebangkitan rakyat untuk selamatkan negara kelak.

"Kongres ini satu alternatif untuk PAS tangani isu-isu yang melanda negara, PAS perlukan pendekatan baru untuk menyakinkan rakyat. Kita harap resolusi yang terbaik daripada semua pihak," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Justeru katanya, Kongres Rakyat satu usaha yang wajar dilaksanakan ketika negara sedang menghadapi kegawatan isu supaya rakyat sedar  dan memahami isu yang berlaku dan memerlukan jalan penyelesaian yang berkesan.

PAS bercadang mengadakan Kongres Rakyat pada 12 September ini di ibu kota. Kongres ini sebagai usaha menggerakkan kebangkitan rakyat dan memimpin tindakan terancang ke arah menuntut perubahan total dalam sistem pentadbiran dan pemerintahan negara.

Kongres Rakyat ini akan mengumpul semua pihak sama ada individu, NGO, parti politik dan seluruh warga prihatin termasuk mahasiswa dan aktivis sosial ke  arah melahirkan resolusi dan plan tindakan yang berkesan bagi membina negara yang selamat dari segala rupa korupsi dan penyelewengan kuasa. - HARAKAHDAILY 27/8/2015

Share on Myspace