Sejarah buktikan PAS tidak pernah khianat pakatan

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Sepanjang sejarah kerjasama politik dengan parti-parti lain PAS tidak pernah khianat sehingga mengambil langkah meninggalkan kawan.

Selepas merdeka PAS mengadakan tahaluf siyasi dengan Parti Negara yang diketuai Datuk Onn Jaafar.

Kemudian pada era 1990-an PAS mengadakan kerjasama dengan Parti Melayu Semangat 46, Hamim dan Berjasa bagi membentuk Angkatan Perpaduan Ummah.

Bagaimanapun Angkatan hanya tinggal batu nisan selepas Semangat 46 dibubar dan pemimpinnya menyertai semula Umno.

Anggota Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Dr Mohamed Fadhli Hassan berkata begitu juga kerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Nasional bagi membentuk Barisan Alternatif menjelang pilihan raya umum (PRU) 1999.

Namun katanya, Barisan Alternatif juga berakhir pada 2001 apabila DAP meninggalkan kerjasama tersebut.

“Secara jelas PAS tidak pernah meninggalkan kerjasama yang disertai dengan mana-mana parti sebelum ini.

“PAS tidak pernah mengkhianati pakatan dengan mana-mana parti sejak parti itu diwujudkan sejak sebelum merdeka lagi,” katanya pada ceramah isu semasa dialog di Dataran Stadium malam tadi.

Hadir sama Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud, Adun Bunut Payong, Dr Ramli Mamat, Timbalan Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Dr Rosli Alani Abdul Kadir dan Ketua Cabang PKR Kota Bharu, Abu Samah Hassan.

Dr Fadhli yang juga Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan ketika menjawab soalan berkata PAS tetap akan meneruskan kerjasama dengan mana-mana parti politik bagi menghadapi PRU ke-14.

Kata beliau kerjasama tersebut bagi menafikan pengaruh Umno dan Barisan Nasional yang menguasai negara sejak merdeka.

Nassuruddin pula berkata sebagai parti yang mendaulatkan Islam sudah tentu setiap kerjasama dengan parti-parti lain dilakukan tanpa menggadaikan prinsip asas perjuangan.

“Pengundi pilih PAS kerana mahu melihat Islam dapat ditegakkan di negara ini. Kalau kerana bukan matlamat perjuangan Islam dibawa PAS pengundi mungkin tidak akan pilih,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 27/8/2015

Share on Myspace