Buang pekerja: Kesan ekonomi mula beri kesan

IZWAN ABDUL HALIM | .

ALOR SETAR: Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah mengucapkan takziah dan melahirkan rasa simpati kepada para pekerja Naza Automotive Manufacturing Sdn Bhd, Gurun yang diberhentikan kerja oleh majikan mereka hari ini, demikian ucap Ketua Pemuda PAS Negeri Kedah, Ustaz Mohd Azam Abd Samat.

Menurut beliau, walaupun diberi pampasan, namun tindakan tersebut terlalu drastik dan seharusnya disusuli notis awal secara terbuka kepada kakitangan berkaitan agar mereka mampu bersedia menghadapi cabaran ekonomi ketika ini.

Ujarnya, pemberhentian itu bukan hanya memberi kesan kepada individu, tetapi juga isteri dan anak-anak yang masih bersekolah akan turut menerima akibatnya.

“Kita sedia maklum bahawa keadaan ekonomi negara kini semakin membimbangkan hingga mendesak semua pihak melakukan penyelarasan sewajarnya. Syarikat-syarikat terpaksa melakukan pengecilan operasi, pembekuan pengambilan pekerja dan pemberhentian pekerja.

“Namun aspek budi bicara dan pertimbangan kemanusiaan serta kebajikan juga perlu diperhalusi. Ruang-ruang untuk pekerja berpindah atau berkerjaya ke destinasi pilihan mereka seterusnya boleh disediakan majikan sebagai tanda prihatin dan menghargai pekerja atas tenaga pernah mereka curahkan.

“Pemberhentian secara mengejut begini menyebabkan pekerja terbeban memikirkan sewa rumah, hutang bank, kenderaan, bil-bil, tuisyen anak-anak dan tanggungan lain kerana tidak membuat persediaan awal,” ujarnya dalam suatu kenyataan hari ini.

Menurutnya, keadaan berlaku ini juga perlu diambil iktibar semua pihak betapa Malaysia sedang menuju kepada tahap ekonomi yang kian parah.

Ini katanya, menuntut usaha menangani secara komprehensif agar negara tidak terjebak ke kedudukan lebih teruk hingga mengundang pelbagai implikasi bukan sahaja sosial, tetapi juga keselamatan.

“Dolak dalih pemimpin negara terhadap kedudukan ekonomi masa kini jelas membuktikan sikap kronisme dan menjaga kepentingan peribadi sahaja. Sedangkan rakyat sedang terhimpit teruk dengan senarai keperluan hidup yang kian mahal.

“Umno-BN terlalu lemah dan semakin hilang punca serta sudah tidak boleh diberikan peluang memerintah. Terlalu lama selesa dengan kuasa yang ada menyebabkan usaha dilakukan hanyalah berlegar kepada tujuan untuk pertahankan kuasa, bukan mensejahterakan rakyat,” tempelaknya. – HARAKAHDAILY 27/8/2015

Share on Myspace