Soalan paling 'best' yang saya terima

AHMAD AMZAD HASHIM | .

SEMALAM saya di Program Santai Isu Isu Panas di Kampung Darat Pok Chang, DUN Rhu Rendang, Marang, Terengganu sebagai ahli panel bersama sahabat saya YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, Ketua Penerangan PAS Terengganu.

Soalan paling 'best' yang saya terima semalam adalah dari seorang peserta berbunyi

"Ketika krisis nilai mata wang ringgit yang jatuh merudum pada tahun 1997, kerajaan telah menyekat kejatuhan dengan mengikat kadar tukaran ringgit kepada Dollar Amerika pada USD1:RM3.80. Hari ini sudah jatuh teruk USD1:RM4.25. Mengapa kerajaan belum ambil langkah mengikat kadar tukaran itu dengan gunakah rezab matawang negara yg didakwa banyak itu?"

Saya mulakan premis jawapan saya dengan mengingatkan kalau dulu parti PAS orang kata cuma parti orang kampungan, pak ustaz, tok lebai yang tahu urusan masjid surau sahaja. Hari ini Kongres Profesional Muslim Se Malaysia yang bersidang di Kuala Lumpur pada April 2015 yang lalu secara terbuka menyokong PAS dan kepimpinan Islam yang dipandu ulama. Parti Umno kini cuma tinggal orang pandai pandai dari jenis yang merosakkan pemikiran orang ramai dengan dakyah yang songsang yang tak bersandarkan kebenaran dan keilmuan.

Untuk soalan mengapa kerajaan tak sekat kejatuhan ringgit?

Secara berseloroh saya menjawab, macamana kerajaan nak sekat kejatuhan ringgit jika Perdana Menteri yang juga menjadi Menteri Kewangan mengajarkan kepada rakyat bahawa "Ringgit Jatuh Baik Untuk Ekonomi Negara"?

Kemudian sekurang kurangnya ada empat lagi menteri kanan dalam kabinet mengulang kenyataan betapa bagusnya jika nilai mata wang ringgit turun.

Jadi biarlah ringgit jatuh. Lagi jatuh, lagi baik untuk negara!

Kemudian disambut pula oleh pengulas yang bersifat mengampu, dengan merapu hujah bagi menyokong kenyataan perdana menteri dan menteri menteri kanan berkenaan.

Kita tidak lupa bagaimana Majlis Professor Negara hilang wibawa sehingga digelar “Professor Kangkung”.

Saya memberi faham kepada hadirin bahawa nilai mata wang dalam sistem kewangan dunia sekarang tidak lagi bersandarkan kepada rezab logam emas yang jadi simpanan negara seperti sistem dahulu yang kita tahu.

Sejak berakhir Perang Dunia Kedua, ekonomi dunia yang dikuasai agenda Zionisme yg didokong Amerika Syarikat merubah pendekatan sehingga sistem mata wang dunia tidak lagi disandarkan kepada rezab emas.

Nilai mata wang ditentukan oleh keyakinan dunia terhadap ekonomi sesebuah negara. Berkait aspek fundamental yang melibatkan statistik kewangan/laporan ekonomi dan juga isu subjektif yang membabitkan persepsi terhadap keadaan negara berkenaan, keyakinan terhadap siapa yang memerintah, urustadbir, ketelusan, perlakuan rasuah, penggubahan wang haram, tahap perlaksanaan demokrasi dan lain lain lagi.

Berlegarnya isu isu Malaysia yang bersifat skandal dan penyelewengan di peringkat antarabangsa yg terlalu besar saiznya terutamanya hutang syarikat 1MDB bernilai kini mungkin RM47Billion (sekarang USD sudah 4.25), derma ke akaun peribadi pemimpin Umno RM2.6Billion (itu yang dapat dibongkarkan), isu pembelian hartanah di Melbourne oleh MARA, isu rasuah yang dilaporkan New York Post melibatkan urusan melombong bijih besi di Buki Besi Terengganu, laporan Bloomberg tentang lapangan terbang LCCT2 bernilai lebih RM4Billion yang sedang mendap dan mungkin tak dapat digunakan kerana membahayakan, pemborosan melalui projek mega seperti MRT yang bernilai RM42Billion, pembinaan kapal kapal peronda pesisir pantai OPV dengan harga lebih dua kali ganda kapal yang setara diperolehi oleh negara negara lain (sebuah OPV RM1.2 billion, mahu bina 27 buah OPV. Sudah bina enam, sedang bina sembilan buah).

Semua inilah yang merosakkan kepercayaan dunia kepada kewangan negara.

Perubahan kosmetik seperti merubah nama Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini tidak dipercayai orang lagi boleh merubah apa-apa bila pegawai pegawai paling kanan dalam SPRM pun boleh diganggu, diarah sesuka hati atau dikenakan tekanan dan intimidasi oleh pemimpin negara sendiri.

Keyakinan dunia kepada BN khususnya Umno sebagai parti pemerintah di Malaysia sudah musnah. 'Window dressing' tidak bawa apa apa makna lagi.

Dunia mahu melihat perubahan total kepimpinan negara. Parti pemerintah baru yang punya dasar dan prinsip yang teguh serta bersih. Dunia mahu melihat suntikan kesegaran dalam kepimpinan. Negara ini perlu disejahterakan.

PAS sedang bekerjasama dengan semua pihak bagi menjayakan agenda Membina Malaysia Sejahtera melalui Kongres Rakyat yang akan berlangsung 12hb September 2015.

Elakkan merosakkan lagi pandangan dunia terhadap Malaysia dengan perbuatan yg mengundang kekacauan dan suasana tidak stabil. Kerana ini kelak menjatuhkan lagi nilai ringgit dan pasaran saham serta keyakinan pelabur asing.

Ia tidak sesuai dengan jiwa rakyat Malaysia yg umumnya cintakan keamanan. Lebih-lebih lagi ketika dihimpit kesempitan hidup sekarang.

Sejahterakan rakyat, mereka akan sokong kita. Susahkan rakyat, mereka akan tolak kita.
Yang bersih, jangan sesekali kita jadikan kotor. – HARAKAHDAILY 28/8/2015

Penulis ialah Pengarah, Jabatan Penerangan PAS Pusat

Share on Myspace