Surat terbuka buat PM: Ke mana duit kami pergi?

SYAHIR SULAIMAN | .

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu; Maka kami seksa mereka disebabkan perbuatannya” (Al-A’raf: 96)

YAB Datuk Seri,

Tidak dapat dinafikan, negara kini berhadapan dengan ketidakstabilan politik dan ekonomi. Pertumbuhan KDNK diunjur malar, inflasi terus menjalar, defisit kian melebar, hutang kerajaan makin mengakar, tabungan rakyat semakin sukar, dan terkini Ringgit sudah hilang kadar.

Untuk pengetahuan Datuk Seri, kami anak muda juga cakna memikirkan hal ekonomi negara. Saban hari kami hadapi - harga makan minum mahal, harga rumah mahal, harga kereta mahal, harga petrol mahal. Namun kelangsungan hidup perlu diteruskan, demi mengejar cita dan harapan.

Jika sebelum ini Datuk Seri dilihat mengambil formula mudah untuk mengatasi masalah ini – cukai dinaikkan, subsidi dikurangkan, kini kerajaan tiada pilihan selain meningkatkan integriti untuk memperbaiki tahap keyakinan.

Rakyat perlu dilibat sama.

Rakyat perlu dilibat sama dalam usaha bersepadu dalam menangani krisis ini. Rakyat tiada akses pada keuntungan sumber minyak negara, yang kami kira, wajar diagih rata. Rakyat tiada akses pada agihan tender kerajaan, yang kami hitung, wajar diberi secara telus dan terbuka. Rakyat tiada akses pada perbelanjaan menteri, yang kami perincikan, wajar dijimat dalam berbelanja. Rakyat tiada akses pada kutipan GST yang dipungut dari poket kami, yang kami anggar, wajar diagih saksama.

Dua strategi perlu diambil dalam menangani krisis ini. Pertama, memperkasa dayatahan kuasa beli rakyat, kedua, mempertahan daya saing ringgit.

Bagi memperkasa dayatahan kuasa beli rakyat, beberapa insentif dasar fiskal dan monetari yang akomodatif wajar dilaksanakan, supaya rakyat mempunyai lebih pendapatan boleh-guna (disposable income) agar kerancakan perbelanjaan domestik dapat dikekalkan, antaranya dengan memberi fleksibiliti untuk potongan cukai pendapatan dan caruman KWSP, mengawal kadar faedah yang dikenakan bank, malah jika perlu, dikurangkan kadar GST atau ditangguhkan pelaksanaannya buat sementara. Di pihak majikan, insentif percukaian atau gran khas boleh disediakan untuk mengelak pengilang dan peniaga memberhentikan pekerja bagi mengurangkan beban operasi syarikat.

Persepsi dan sentimen ini perlu diurus dengan baik, dan rakyat perlu diyakinkan untuk terus berbelanja bagi menjana ekonomi negara, serta tidak mudah terpedaya dengan khabar angin yang disebar pihak tidak bertanggungjawab, antaranya ringgit akan hilang nilai, simpanan di bank perlu dikeluarkan, dan pelbagai lagi andaian negatif yang tidak berasas.

Ringgit perlu distabilkan segera.

Bagi mempertahan dayasaing ringgit, kerajaan perlu memberi fokus untuk menstabilkan dinamik penawaran dan permintaan matawang. Langkah mengurangkan permintaan terhadap wang asing perlu diperkenalkan, antaranya dengan menghadkan import barangan mewah, menghadkan aliran keluar modal dan pelaburan luar negeri oleh dana-dana awam, mengurangkan kunjungan ke luar negara oleh penjawat awam, dan menggalakkan rakyat melancong ke destinasi domestik.

Di samping itu, permintaan terhadap Ringgit boleh ditingkatkan, antaranya dengan memberi insentif pelaburan kepada industri berorientasikan eksport, menggalakkan pelabur tempatan membawa pulang keuntungan dari luar negara, dan meningkatkan promosi kedatangan pelancong asing ke dalam negara.

Akhir dari kami, ingatlah ketika Datuk Seri (dan isteri) berfikir ke mana mahu pergi, kami anak muda berfikir ke mana duit kami pergi. Teringat kami akan konsep wasatiyyah yang pernah dizikirkan. Jika ikhlas diamalkan, setiap masalah mampu diselesaikan.

Firman Allah s.w.t.: “Yusuf menjawab: Hendaklah kamu bertanam tujuh tahun seperti biasa, kemudian apa yang kamu tuai biarkanlah dia pada tangkai-tangkai; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makanan. Kemudian akan datang selepas itu, tujuh tahun yang bersangatan kemaraunya, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan bagi mereka; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan. Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah hasil.” (Yusuf: 47–49) - HARAKAHDAILY 28/8/2015

Share on Myspace