Bersih 4.0: Tiada kerahan anggota Jabatan Amal

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Jabatan Amal Malaysia memaklumkan pihaknya tidak menerima arahan daripada pucuk pimpinan PAS untuk bertugas mahupun menyertai himpunan Bersih 4.0 pada 29 dan 30 Ogos ini.

Makluman itu menurut Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia Mohd Nasree Mohd Aris selari dengan keputusan pimpinan PAS yang tidak mengerahkan ahlinya untuk menyertai himpunan tersebut.

Katanya, dalam satu kenyataan hari ini, sekiranya terdapat anggotanya yang menyertai himpunan berkenaan adalah atas kapasiti dan kemahuan individu tersebut.

"Jabatan Amal Malaysia dengan ini melarang dari memakai mana-mana pakaian seragam Jabatan Amal mahupun memakai apa bentuk pakaian atau topi yang mempunyai lambang unitnya atau divisyen di bawahnya iaitu Kadet Amal, Bridged Amal dan Unit Amal semasa himpunan Bersih 4.0," katanya.

Jabatan Amal juga, ujarnya memberi amaran sekiranya terdapat mana-mana individu yang bukan anggotanya mamakai pakaian seragam Jabatan Amal Malaysia dan divisyen di bawahnya, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap individu tersebut.

Katanya, pihaknya juga tidak akan bertanggungjawab ke atas mana-mana anggotanya yang melanggar arahan tersebut dan sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini semasa himpunan itu segala liabiliti akan ditanggung sendiri oleh individu berkenaan.

"Jabatan Amal Malaysia menyokong tuntutan Bersih 4.0 dan berharap segalanya akan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah," katanya. - HARAKAHDAILY 28/8/2015

Share on Myspace