RM jatuh: Sedia pelan bantu pelajar di luar negara

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ekoran daripada kejatuhan teruk nilai Ringgit Malaysia berbanding Dolar Amerika Syarikat, para pelajar persendirian Malaysia yang menyambung pengajian di luar negara berdepan tekanan kewangan yang tinggi. Ia telah meningkatkan kos yuran pengajian termasuk sara hidup harian mereka.

"Sekiranya perkara ini berterusan, maka ramai pelajar Malaysia terpaksa menangguhkan pengajian dan pulang semula ke negara ini untuk tempoh masa tertentu," ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

Setakat ini, katanya Kementerian Pendidikan Tinggi belum memberikan apa-apa jaminan bagi mengurangkan bebanan kewangan yang dihadapi oleh mereka.

Tambahnya, PAS turut kesal dengan kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi beberapa hari lalu yang mengambil sikap tidak serius berhubung perkara ini jika dibandingkan dengan Menteri Besar Johor yang telah meluluskan bantuan segera berjumlah RM2.5 juta kepada para pelajarnya yang menuntut di Mesir dan Jordan.

Oleh yang demikian, tegasnya PAS menuntut agar Kementerian Pendidikan Tinggi wajar mengemukakan inisiatif pelan bantuan terhadap para pelajar Malaysia di luar negara.

"Pihak kerajaan digesa berunding dengan pihak pengurusan pendidikan di luar negara (G to G) agar masalah kewangan yang sedang dihadapi tidak menjejaskan proses pengajian mereka," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Menurutnya, antara cadangan yang difikirkan perlu adalah mengkoordinasi bantuan kewangan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri, memberikan jaminan kewangan kepada pihak pengurusan universiti bagi pihak pelajar dan berbincang untuk melanjutkan tempoh pembayaran yuran pengajian bagi tempoh masa tertentu. - HARAKAHDAILY 28/8/2015

Share on Myspace