Rakyat resah apabila fajar menyingsing

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Rakyat resah dan semput dada apabila fajar menyingsing. Cerah sahaja matahari harga barang keperluan sentiasa naik, akibat kejatuhan mata wang.

Bermula dengan minum pagi, terasa harga barang sudah naik. Ia ditambah dengan masalah yang sedia ada iaitu cukai GST sebanyak 6 peratus sejak 1  April 2015.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, pekerja di sektor swasta sentiasa resah memikirkan syarikat mereka terpaksa mengurangkan pekerja.

"Takut, apabila sampai di pejabat sudah ada notis pemberhentian kerja," ujarnya kepada Harakahdaily.

Terbaru, katanya pekerja kilang Naza di Gurun, Kedah yang diberhentikan seramai kira-kira 300 orang.

Awal Julai lalu, ujarnya kilang JVC di Seksyen 20 Shah Alam ditutup, pekerjanya ditawarkan skim pemberhentian kerja sukarela (VSS) di mana sebelumnya 6,000 pekerja MAS telah dibuang.

"Kita bimbang fenomena ini akan menimbulkan kesan sosial seperti perceraian, penyakit mental akan meningkat, apabila memikirkan kemana mereka hendak bekerja untuk menyelesaikan hutang rumah, kereta dan sebagainya, terutama bagi pekerja yang sudah lanjut umur," ujarnya lagi.

Selepas ini pula, kata beliau kadar faedah pinjaman akan dinaikkan.

Ini, tambahnya lumrah dalam dunia perniagaan kapitalis akan menaikkan kadar faedah sebagai usaha menampung kos operasi apabila suasana gawat.

"Dengan ini sudah tentu akan meningkat kadar inflasi.

"Kenapa terjadi demikian, semua gara-gara kepimpinan yang tidak amanah dengan negara dan rakyat," kata Ahli Parlimen Bukit Gantang itu.

Katanya, mereka berbelanja dengan boros, rasuah menjadi makanan harian daripada bawah hingga ke atas yang akhirnya beban terkena kepada rakyat marhaen. - HARAKAHDAILY 28/8/2015

Share on Myspace