Selesai isu Kampung Mutiara secara 'Sehati Sejiwa'

MOHD SABRI SAID | .

PULAU PINANG: Kunjungan Dewan Muslimat PAS Negeri Pulau Pinang ke Kampung Mutiara,  Batu Feringgi, kelmarin disambut meriah para penduduk kampung terbabit.

Ketuanya, Asnah Hashim memberitahu tujuan utama Dewan Muslimat PAS negeri ke situ adalah untuk menzahirkan simpati terhadap nasib yang menimpa penduduk berkenaan setelah tanah yang didiami sejak puluhan tahun dijual kepada sebuah syarikat swasta.

"Rasa sedih bila melihat nasib mereka terumbang ambing bila mana tanah yang didiami telah dijual pada syarikat pemaju. Bila dah dibeli maka mereka terpaksa angkat kaki. Itu dah lumrah tapi sekurang bagilah pampasan," ujarnya.

Keadaan menjadi lebih kelam kabut lagi apabila Mahkamah Rayuan mengisytiharkan supaya 149 buah rumah dengan jumlah 996 penduduk mengosongkan tanah tersebut sepertimana arahan surat bertarikh 9 Julai lalu.

Mereka dikehendaki keluar dari kampung dan mengosongkan tanah terbabit dengan segera sama ada secara sukarela atau kekerasan sebelum 23 Julai 2015.

Dewan Muslimat Negeri Pulau Pinang sedih dan berharap isu itu diselesaikan segera supaya penduduk tidak teraniaya.

"Kami dari Dewan Muslimat PAS negeri berharap ada perbincangan yang baik dalam masa penangguhan selama dua minggu ini. Biarlah kedua-dua pihak dapat mengatasinya dengan tema Hari Kemerdekaan negara 'Sehati Sejiwa'," katanya.

Rombongan Dewan Muslimat PAS negeri juga menyerahkan bahan keperluan seharian kepada penduduk terlibat sebagai tanda simpati. - HARAKAHDAILY 29/8/2015

Share on Myspace