PAS Pahang gesa kerajaan tingkat kehidupan Orang Asal

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

TEMERLOH: Nasib kaum Orang Asal yang kurang dipedulikan sebelum ini, perlu dibela terutama berkaitan sumber pendapatan dan pendidikan bagi mengangkat entiti tersebut setanding dengan masyarakat lain di negara ini.
 
Ini penting bagi meningkatkan taraf hidup golongan tersebut yang selama ini hanya digunakan untuk tujuan memperoleh sokongan politik sahaja.
 
Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, sepanjang dua hari beliau bersama Lajnah Perpaduan Nasional negeri dalam aktiviti kemasyarakatan di Kampung Dayak, Pos Lenjang dalam Parlimen Cameron Highlands, dapat diselami permasaalahan dan harapan mereka terhadap pihak kerajaan untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka.
 
Menurutnya, kampung tersebut didiami oleh 32 keluarga di mana empat daripadanya beragama Islam dan empat lagi beragama Kristian menakala selebihnya beragama Bahai.
 
“Dalam perbualan saya dengan Batin Kamal beliau memberitahu tiadanya pusat pendidikan awal sekolah seperti Tadika juga kelas pendidikan Islam seperti Kafa untuk anak-anak masyarakat umat Islam sedangkan jika digabungkan antara Kampung Dayak dan kampung-kampung sekitarnya jumlah anak-anak sangat ramai.
 
“Manakala kelas pendidikan Islam sangat minima, saya difahamkan terlalu jarang tenaga pengajar datang mengajar mereka sedangkan hampir semua mereka masih belum dapat menguasai ibadah solat dengan sempurna walaupun ada di antara mereka yang telah memeluk Islam lebih dua tahun,” katanya.
 
Ustaz Rosli berkata jika digabungkan dengan kampung-kampung berhampiran jumlah mereka melebihi 20 keluarga Islam justeru berharap pihak Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dapat memainkan peranan kerana suasana ini akan terus mengekalkan mereka didalam keadaan jahil dan dibimbangi mereka keluar dari agama Islam.
 
Dalam pada itu, Rosli berkata ada kelas dewasa orang asli pribumi (Kedap) yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada ibu bapa supaya pandai membaca dan dapat membantu anak-anak membuat kerja sekolah, juga gagal dilaksanakan dengan sempurna.

"Saya difahamkan telah beberapa bulan program tersebut tidak dilaksanakan walaupun sepatutnya ianya mesti berjalan dari bulan April hingga September," ujarnya.
 
Katanya, program tersebut melibatkan 22 buah sekolah di seluruh Pahang yang sepatutnya melibatkan 75 kali pertemuan selama dua jam untuk 30 peserta.
 
Bagi peserta mereka dibayar RM19 setiap kali menyertai kelas manakala guru-guru juga diberi elaun untuk menjayakan program tersebut dengan kos RM56,250 setahun bagi setiap sekolah sejak tahun 2014.
 
Rosli berkata, dari segi sumber pendapatan juga didapati sangat menyedihkan apabila keringat mereka tidak dibayar dengan bayaran setimpal.
 
“Kebanyakan penduduk di sini meraih pendapatan dengan menjual buluh, kesusahan mereka mendaki bukit untuk menebang buluh untuk dijual kepada pengusaha sayur dan lain-lain hanya dibayar 40 sen bagi setiap batang yang panjangnya 7 hingga 12 kaki.
 
“Bayangkan untuk memikulnya sahaja pun sudah tidak berbaloi, sebab itulah mereka mengharapkan pihak JHEOA memainkan peranan untuk membantu mereka agar tidak dimanipulasikan oleh pihak pembeli,” ujarnya.
 
Tambahnya, agensi kerajaan itu patut berbincang dengan pembeli agar Orang Asli dibayar dengan harga berpatutan dan selaraskan harga tersebut supaya mereka tidak dizalimi.
 
Sementara itu, PAS Pahang turut menyampaikan sumbangan kepada masyarakat berkenaan. Turut hadir Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS N Balasubramaniam. - HARAKAHDAILY 30/8/2015

Share on Myspace