Kekuatan politik dorong Acheh laksana syariat Islam

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Kekuatan politik dan kemahuan tinggi rakyat terhadap agama menjadi faktor utama wilayah autonomi Acheh mampu melaksanakan syariat Islam.

Kepala Dinas Syariah Islam Acheh Prof Dr Shahrizal Abbas berkata kemahuan politik pemerintah dan kefahaman mendalam rakyat terhadap agama menjadi pendorong utama.

Katanya, tanpa ada kemahuan politik pemerintah sudah tentu hukuman sebat sebagaimana yang terkandung dalam  al-Quran dan Hadis tidak dapat dilaksanakan di Acheh.

“Islam datang ke Asia Tenggara melalui Acheh dan Pasai. Sebab itulah Acheh dikenali sebagai Serambi Mekah sama juga dengan Kelantan.

“Setelah pemerintah Acheh mempunyai kuasa politik tuntutan terhadap agama perlu dilaksanakan. Segalanya bermula dengan keyakinan tinggi terhadap agama Islam,” katanya pada diskusi pelaksanaan syariat di Acheh bersama Lajnah Penerangan dan Hubungan Media PAS Kelantan di JKR 10 petang semalam.

Diskusi itu dipengerusikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Dr Yusnan Yusof. Hadir sama anggota Exco, Mumtaz Mohd Nawi, Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Md Ashaari Mamat dan ahli jawatankuasa Persatuan Perubatan Islam Malaysia.

Dr Shahrizal juga berkata hukuman ke atas pesalah hudud iaitu zina sebanyak 100 rotan dan tuduhan ke atas zina 80 rotan sama seperti yang terkandung dalam al-Quran.

“Selepas mendapat kuasa autonomi pemerintah Acheh perlu mendengar nasihat ulama dan diikuti, tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja,” ujarnya.

“Bagaimanapun berdasar kepada sejarah Acheh telah berusaha untuk melaksanakan syariat sejak ketika awal Indonesia mencapai kemerdekaan daripada Belanda.

“Acheh bersama Indonesia memperjuangkan kemerdekaan. Namun janji awal membolehkan Acheh melaksanakan syariat Islam tidak ditunaikan Sukarno selepas negara merdeka.

“Acheh melalui sejarah selama 30 tahun berjuang dengan senjata menyebabkan ribuan menjadi korban sehinggalah diberi kuasa autonomi khusus selepas tsunami melanda pada  2004,” katanya.  

Acheh diberi kuasa autonomi khusus dalam bidang politik,  ekonomi, undang-undang dan sosial.  Begitu juga pelantikan ketua polis perlu mendapat izin daripada Gabenor terlebih dahulu.

Kata beliau selepas kejayaan Acheh mewujudkan Dinas Syariat, wilayah-wilayah lain di Indonesia juga mulai mewujudkan jabatan berkenaan bagi menasihati pemerintah.

Dr Shahrizal juga memberitahu Acheh pernah belajar daripada Kelantan sebelum undang-undang syariat dilaksanakan di wilayah tersebut.

Oleh itu kata beliau biar pun Kelantan belum dapat melaksanakan syariat, namun usaha secara berterusan hendaklah dijalankan.

“Tidak boleh berhenti setakat dibawa usulnya di parlimen sahaja. Perlu cari  jalan keluar lain. Setidak-tidaknya pelaksanaan syariat boleh dilaksanakan dalam bidang sosial dan ekonomi terlebih dahulu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/8/2015

Share on Myspace