Ertikan kemerdekaan dengan penghayatan Islam

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI AL-HAFIZ | .

ISLAM sentiasa memberikan kebebasan untuk penganutnya melaksanakan keperluan harian berlandaskan syariat Islam yang telah digariskan melalui panduan al-Quran dan Sunnah. Maka seharusnya sebagai pendokong perjuangan Islam, dalam segala tindakan dan perilaku mestilah berada di atas landasan Islam yang tulen.

Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-58, mari kita ertikan bersama nilai kemerdekaan dengan penghayatan Islam agar kita tidak leka menikmati intipati kebebasan sehingga mengundang murka Allah SWT.

Prinsip dan dasar kemerdekaan telah digariskan oleh Allah SWT untuk diterjemahkan dalam kehidupan manusia. Bahkan dengan pegangan prinsip ini mampu memelihara moral dan akhlak manusia tanpa dijajah dengan pemikiran asing yang akhirnya merosakan akal serta gaya hidup muslim. Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Rum ayat 30:

“Maka hadapkanlah wajahmu dengan Lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

Dalam ayat ini jelas Allah SWT menggariskan beberapa indikator untuk dicapai dalam merealisasikan  sebuah kemerdekaan.

1. Kekuatan aqidah dan keyakinan kepada Allah SWT
2. Istiqamah dan komited di atas fitrah seorang manusia yang diciptakan oleh Allah SWT
3. Pegangan agama yang kukuh

Atas laungan kebebasan kita tidak semudahnya mengasingkan kekuatan akidah. Implikasi daripada akidah yang sahih akan menatijahkan amalan yang soleh. Justeru meletakkan keutamaan menjaga akidah akan mengharmonikan nilai  kemerdekaan sebenar.

Keimanan dan ketaqwaan berkualiti mampu diiringi dengan keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT namun jika berlaku sebaliknya , agama diperdagangkan, dijadikan bahan sindiran jenaka maka tidak mustahil kemurkaan Allah SWT hanya menanti saat dan ketika untuk dijelmakan.

Hal ini jelas telah disebutkan oleh Allah SWT dalam Surah Al-Anfal ayat 96:

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, Maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.”

Kemerdekaan yang dikecapi hari ini, bukan menjadi satu batu loncatan kita terus mengejar segala kemudahan sehingga kita menjadikan agama sebagai satu pilihan bukan kewajipan. Selayakanya nikmat kemerdekaan ini, diertikan dengan menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT dengan meningkatkan amalan kita untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT .

Satu kisah yang dirakamkan oleh Allah SWT sebagai suntikan kesedaran untuk diambil iktibar seterusnya dijadikan pengajaran kepada generasi akan datang.

“Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum 'Aad?. (Iaitu) penduduk Iram yang mempunyai Bangunan-bangunan yang tinggi. Yang belum pernah dibangun (suatu kota) seperti itu, di negeri-negeri lain. Dan kaum Tsamud yang memotong batu-batu besar di lembah. Dan kaum Fir'aun yang mempunyai pasak-pasak (tentara yang banyak). Yang berbuat sewenang-wenang dalam negeri. Lalu mereka berbuat banyak kerosakan dalam negeri itu. Kerana itu Tuhanmu menimpakan kepada mereka cemeti azab. Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mengawasi.” (Surah al-Faj: Ayat 6 – 14). – HARAKAHDAILY 30/8/2015

Penulis merupakan Setiausaha Lajnah Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

Share on Myspace