Bubar parlimen dapatkan mandat baru dari rakyat

JOFRI JARAIEE PAS SARAWAK | .

PARLIMEN merupakan badan perundangan tertinggi di Malaysia. Ianya terdiri daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
 
Mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, hanya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sahaja boleh memanggil Parlimen untuk bersidang. Baginda juga mempunyai kuasa mutlak untuk menghenti atau pun membubarkan Parlimen.

Justeru, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diperuntukkan oleh Perlembagaan untuk menetapkan persidangan Parlimen dalam tempoh masa enam (6) bulan di antara persidangan yang lepas dalam penggal  terakhir dan tarikh mesyuarat pertama dalam persidangan penggal akan datang.
 
Parlimen akan terus bersidang selama lima (5) tahun dari tarikh pertama persidangan diadakan selepas pilihan raya umum kecuali ianya dibubarkan terlebih dahulu. Setelah genap tempoh masa lima (5) tahun, Parlimen dengan sendirinya terbubar. Dalam tempoh masa enam puluh (60) hari, pilihan raya umum bagi memilih wakil-wakil Dewan Rakyat mestilah diadakan. Selepas itu persidangan Parlimen hendaklah dtetapkan pada satu tarikh yang tidak melebihi seratus dua puluh (120) hari dari tarikh pembubarannya.
 
Oleh sebab keadaan kegawatan ekonomi, isu 1MDB (1Malaysia Development Berhad), isu derma RM2.6 billion, GST, harga minyak pasaran dunia jatuh tapi harga minyak pengguna di Malaysia tidak stabil dan meningkat disebabkan nilai mata wang Malaysia merudum dan lain-lain isu yang menyusahkan kehidupan rakyat, maka rakyat Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang lebih baik dan stabil untuk menyelesaikan masalah tersebut.
 
Dengan pemintaan rakyat dalam himpunan Bersih baru-baru ini yang mahu Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan sebaiknya Najib membubarkan parlimen untuk mendapatkan semula mandat baru dari rakyat.

Walaupun secara umumnya parlimen dengan sendirinya terbubar setelah genap tempoh masa lima (5) tahun, tetapi akibat masalah yang gawat yang berlaku dalam Malaysia sekarang ini maka sebaik-baiknya Najib membubarkan parlimen selepas membentangkan bajet 2016 nanti. Sebaik-baiknya pilihan raya umum diadakan pada hujung tahun ini untuk memudahkan rakyat memilih pemimpin dan kerajaan baru yang boleh memberi kesejahteraan dan keadilan kepada rakyat.
 
Tempoh Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak akan tamat pada 20 Jun 2016 tetapi ianya boleh dibubarkan lebih awal dari tarikh tersebut sekiranya kerajaan yang memerintah Sarawak ingin mendapatkan mandat baru dari rakyat. Masalahnya kebanyakan pemerintah di Malaysia jarang mengumumkan tarikh awal pilihan raya selalu penuh dengan teka teki dalam menentukan tarikh pilihan raya.
 
Di negara-negara maju atau negara ketiga yang mengamalkan sistem demokrasi masing-masing berani membuat pengumuman lebih awal tarikh awal pilihan raya sehingga ada yang mengambil tempoh setahun sebelum tarikh pilihan raya umum sebenar diadakan.
 
Di Malaysia ianya penuh dengan teka teki sehingga menyebabkan rakyat dan parti politik terus bermain politik sepanjang masa dari memberi tumpuan terhadap masalah kebajikan rakyat dan juga pembangunan negara.

Kerajaan Malaysia boleh menetapkan tarikh pilihan raya sehingga tarikh tamat tempoh atau kalau mereka hendak menetapkan awal dari tarikh tamat tempoh, mereka boleh buat pengumuman lebih awal seperti 6 bulan dari tarikh pembubaran supaya parti politik bersedia dan rakyat dapat memilih pemimpin dan kerajaan yang lebih baik dari sebelumnya.
 
Kami mencadangkan bahawa kerajaan Malaysia membubarkan parlimen dan Dewan Undangan Negeri Sarawak serentak untuk memudahkan rakyat memilih pemimpin terbaik dan mengurangkan kos mengurus perbelanjaan dalam pilihan raya umum. Sistem pengurusan pilihan raya perlu dikaji semula agar ianya benar-benar telus, adil dan bebas dari sebarang bentuk penipuan yang boleh menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap SPR.
 
Persempadanan semula yang berlaku di Dun Sarawak juga dipertikaikan kerana ianya lebih memihak kepada kerajaan yang memerintah seperti kebanyakan Dun baru lebih tertumpu di kawasan luar bandar sedangkan dalam kawasan bandar yang padat penduduk tidak ada banyak perubahan atau penambahan kerusi Dun baru.
 
Perkara seperti ini perlu diberi perhatian oleh pihak SPR dan pemerintah sekiranya mereka mahu rakyat menerima keputusan pilihan raya dengan hati terbuka. Harap perkara ini mendapat perhatian sewajarnya dari pihak pemerintah dan bebaskan SPR dari sebarang pengaruh parti politik agar mereka bebas menjalankan tugas tanpa sebarang tekanan dari pihak tertentu. - HARAKAHDAILY 31/8/2015

Share on Myspace