Mercun: 4 Lelaki ditahan ketika peserta bersurai

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Polis menahan empat lagi individu berhubung insiden letupan dipercayai berpunca daripada mercun ketika peserta perhimpunan Bersih 4 sedang bersurai di sekitar Dataran Merdeka, awal pagi tadi.

Datuk Tajudin Md IsaKetua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajudin Md Isa berkata tangkapan itu menjadikan jumlah tangkapan sehingga ini seramai lima orang.

"Keempat-empat mereka ditahan dalam dua kejadian berasingan di sekitar Dataran Merdeka.

"Dalam senario pertama seorang lelaki didapati membakar dan membaling mercun ke arah peserta, manakala senario kedua, dua lelaki didapati membakar mercun dan ketika ditahan datang seorang lagi lelaki cuba menghalang polis daripada menahan kedua-dua lelaki itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Katanya, tiga daripada empat lelaki yang ditahan awal pagi tadi disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan dan seorang lagi mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Tajudin dalam kenyataan media semalam berkata seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan di Dataran Merdeka semalam kerana berkelakuan lucah dan gagal menunjukkan kad pengenalan.

Perhimpunan Bersih selama dua hari yang diisytiharkan haram oleh polis dianjurkan oleh kumpulan reformasi pilihan raya Bersih 2.0 yang antara lain menuntut pilihan raya yang bersih dan adil serta sebuah kerajaan yang bersih. - Bernama

Share on Myspace