Tak cukup perit lagikah, rakyat marhaen?

HARAKAHDAILY | .

MERDEKA ialah satu slogan yang sangat besar makna bagi sesebuah negara yang pernah dijajah. Ribuan nyawa terkorban demi memerdekakan negara. Pelbagai jerih payah dilalui oleh generasi lampau dalam usaha membebaskan negara dari belenggu penjajahan.

Kini setelah negara mencapai kemerdekaan yang ke-58, slogan kemerdekaan bukan lagi dalam bentuk mengembalikan nostalgia yang tidak dapat dihayati oleh generasi kini. Ia hampir tiada makna dan telah digantikan dengan gemaan menuntut perubahan bagi menjayakan bangsa dan negara yang mampu bersaing dengan cabaran global.

Hari ini, negara kita masih bergelut dengan pelbagai isu salah guna kuasa, penyelewengan, rasuah dan pembaziran yang amat membimbangkan sehingga menjadi tumpuan media antarabangsa.

Pelbagai kemelut ini menuntut rakyat bangkit membuat perubahan demi mencapai erti sebenar kemerdekaan negara.

Rakyat membilang kegagalan negara menerajui perubahan setelah 58 tahun kita bebas dari penjajahan. Kepelbagaian negara dieksploitasi menjadi senjata politik daripada menjadi kekuatan yang memacu kemajuan negara.

Malaysia semakin jauh ditinggalkan dengan pencapaian cemerlang negara jiran Singapura, Korea, Jepun bahkan kini Vietnam dan Kemboja mula mengorak langkah maju ke hadapan. Bukan itu sahaja, jurang perbezaan antara kaum dan agama, bandar dengan luar bandar dan kaya dengan miskin di Malaysia juga semakin melebar.

Selepas 58 tahun, ‘kejayaan’ negara yang paling ketara ialah kehebatannya melahirkan rakyat yang berhutang keliling pinggang untuk menjayakan diri dan keluarga. Berjaya cemerlang ke universiti, namun yang menunggu mereka ialah puluhan ribu hutang PTPTN. Kemudian di awal alam pekerjaan mereka, hutang rumah, kereta dan sara hidup mengetuk di pintu dompet. Ini adalah ‘penjara alam baru’ buat rakyat hari ini meskipun sumber asli yang ada di Malaysia menjadi kecemburuan dunia.

Lihatlah nasib peneroka Felda hari ini yang dijanjikan mimpi indah ketika kerajaan mahu membawa FGV ke Bursa Malaysia. Kini, mereka berhutang untuk membayar saham yang dijanjikan keuntungan berganda. Pemilikan saham itu bertukar menjadi mimpi ngeri dan memeritkan kehidupan bersama hutang membaiki rumah, kos tanam semula, hutang sara hidup dan pelbagai jenis hutang yang lain.

Bagi rakyat marhaen, apalah erti kemerdekaan kalau rakyat terus dipenjara dengan hutang bertimbun sehingga masih ada anak bangsa Malaysia yang kelaparan dan terpaksa menangguh pengajian kerana kesempitan hidup keluarga?

Di saat kepimpinan negara bergelut bagi menjawab dana negara di 1MDB yang diselewengkan dan asal usul dana RM2.6 bilion di akaun Perdana Menteri dan bagaimana ia telah dibelanjakan, rakyat berpendapatan sederhana dan miskin pula bergelumang dengan kos hidup yang sangat membebankan.

Merdekakah jiwa kita bagi menuntut sebuah perubahan total demi masa depan negara? Adakah keadaan perlu lebih tenat lagi sebelum rakyat marhaen, terutamanya yang di luar bandar dan Felda dapat bangkit menuntut perubahan? Cuma saya bimbang, apabila situasi itu tiba, ia sudah terlambat kerana negara sudahpun tergadai di tangan mereka yang tergila-gilakan kuasa, Ringgit dan ketakutan mereka dihumban ke dalam penjara. - HARAKAHDAILY 1/9/2015

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
1 September 2015

Share on Myspace