Pijak gambar: Pemuda Kelantan lapor polis

ASLANI M | .

KUALA KRAI: Pemuda PAS Kelantan hari ini membuat laporan polis terhadap tindakan pihak tidak bertanggungjawab 'memijak' gambar Presiden PAS pada himpunan Bersih 4.0.

Laporan dibuat Ketua Pemuda PAS Negeri, Ahmad Fadhli Shaari dan Ketua Pemuda PAS Cawangan Kampung Gatal, Kuala Krai Mohd Nasrun Harun di dua lokasi berbeza hari ini.

Laporan Pemuda PAS negeri dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di Pengkalan Chepa dan satu lagi di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai.

Mohd Nasrun berharap pihak polis melakukan siasatan terperinci terhadap kejadian tersebut kerana ia boleh mengundang suasana tidak harmonis dalam negara.

“Saya melihat adegan memijak gambar itu melalui laman Facebook. Pada awalnya saya tidak percaya namun selepas mengamati video yang dimuat naik ia benar-benar mengejutkan,” katanya di sini.

Hadir hadir  memberi sokongan terhadap laporan polis itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan, Nazman Che Iberahim dan Pemuda PAS Kuala Krai.

Nazman berkata, perbuatan sekumpulan peserta Bersih 4.0 memijak gambar Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak sepatutnya berlaku kerana menyimpang daripada matlamat asal perhimpunan itu diadakan.

Katanya pihak penganjur perlu menjelaskan situasi sebenar kerana perbuatan tersebut cukup menggelirukan di tengah-tengah kebangkitan anak muda menuntut pilihan raya adil dan bersih.

Menjadi viral di media baru sejak kelmarin aksi anak muda bukan Melayu memijak gambar Tuan Guru Abdul Hadi.

Selain itu gambar yang diubah suai (super impose) dengan adegan berpeluk Datuk Seri Najib Razak. - HARAKAHDAILY 1/9/2015

Share on Myspace