Penghinaan tidak boleh dibiar kepada sesiapa sahaja

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Penghinaan tidak boleh dibiarkan berlaku kepada sesiapa sahaja terutama dari seorang manusia yang siuman.

"Apatah lagi tindakan biadap tersebut dilakukan terhadap insan yang dihormati bukan sahaja dalam negeri malah diiktiraf peranan dan ketokohannya di luar negara," kata Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad.

Justeru, kata beliau atas rasa keprihatinan satu laporan telah dibuat di Balai Polis Jalan Dang Wangi Kuala Lumpur, pagi tadi.

"Semoga pihak PDRM mengambil tindakan sewajarnya demi memastikan tindakan provokatif dan berniat jahat ini dapat di rungkai demi kesejahteraan dan ketenteraman awam," ujarnya dlam atu kenyataan.

Bagi beliau, alangkah baik dan murninya jika pihak-pihak yang bertanggungjawab tampil ke muka memohon maaf atas ketelanjuran yang berlaku mungkin kerana terlalu mengikut emosi akibat telah diracuni pemikiran.

Dalam laporan polis itu, beliau memaklumkan telah menerima  satu gambar dan video melalui aplikasi media sosial Whatsapp.

"Gambar yang saya terima menunjukkan seorang perempuan berbaju kuning sedang memijak sesuatu seperti sekeping gambar.

"Apabila saya menonton video yang saya terima saya mendapati ianya mengandungi aksi beberapa orang yang berbaju kuning sedang memijak sekeping gambar," katanya.

Tambahnya, setelah membuat perbandingan antara gambar dan kandungan video tersebut saya mendapati bahawa yang dipijak itu adalah sekeping gambar yang diedit mengandungi wajah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Baginya, sebagai rakyat Malaysia dalam negara yang mengamalkan demokrasi, perbuatan memijak-mijak gambar presiden PAS telah menghina dan menceroboh hak kebebasan dalam amalan demokrasi.

"Ianya juga merupakan satu bentuk tindakan bersifat provokatif dan menghasut yang boleh menimbulkan kekecohan dan mengancam keselamatan negara memandangkan beliau merupakan tokoh agamawan yang mewakili ummat Islam yang dikenali ramai bukan sahaja  di dalam malah di luar negara.

"Oleh itu untuk menunjukkan sikap prihatin saya dan bagi menjaga hak demokrasi saya dan keamanan negara maka saya rasa amat bertanggungjawab untuk membuat laporan polis atas insiden yang telah berlaku," ujarnya yang juga Bendahari PAS Pusat.

Beliau berharap semoga siasatan dibuat ke atas penganjur perhimpunan Bersih 4.0 dan individu yang terbabit. - HARAKAHDAILY 1/9/2015

Share on Myspace