Gangguan emosi: Kaunseling kepada jemaah haji

MOHD SHUKRI ISHAK | .

MAKKAH: Selain bimbingan ibadat, Tabung Haji (TH) turut menyediakan khidmat kaunseling kepada jemaah haji Malaysia bagi memantapkan ketahanan emosi mereka akibat berdepan dengan pelbagai rupa cabaran persekitaran di Tanah Suci.
    
Pengurus Pusat Kaunseling TH di Makkah, Sharifah Rahanah Wan Drahman berkata, kebanyakan kes emosi berkaitan penyesuaian diri dalam kalangan pasangan suami isteri, berikutan mereka tidak lagi tinggal bersama.
    
Masing-masing sebaliknya terpaksa berkongsi bilik dengan jemaah haji hanya dari sesama kaum.
    
Dalam persekitaran sedemikian, difahamkan Tabung Haji mengambil tindakan cukup berhemah memberi kemudahan kepada pasangan suami isteri yang ingin 'tinggal bersendirian seketika'.  
    
Sharifah Rahanah berkata, "Kegagalan mengawal emosi menyebabkan jemaah mengalami masalah kemurungan dan kesedihan, sehingga mereka hilang minat untuk meneruskan rutin harian seperti pergi ke masjid, hilang selera makan dan sukar tidur".
    
Dalam taklimat kepada pemberita hari ini, beliau berkata terdapat juga kes gangguan emosi yang dilaporkan oleh rakan sebilik selepas mendapati jemaah tersebut berkelakuan pelik.
    
"Kaunselor akan membantu dengan cara bersemuka dengan jemaah terbabit dan proses itu akan dilakukan secara berulang sehingga emosi jemaah terbabit kembali stabil.
    
"Insya-Allah, apa jua masalah dapat diselesaikan," katanya.
    
Sharifah Rahanah berkata pihaknya turut mengadakan sesi taklimat dan program ziarah ke bilik bagi mengenalpasti masalah berkaitan emosi jemaah haji.
    
Katanya, gangguan emosi mungkin juga akibat kegagalan menyesuaikan diri dengan rutin kehidupan baharu di Tanah Suci.  
    
Gangguan emosi lain ialah kemurungan akibat kerinduan kepada keluarga di tanah air, masalah menyesuaikan diri dengan rakan sebilik di Tanah Suci, masalah peribadi yang terbawa-bawa ke Tanah suci yang akhirnya menjejaskan penumpuan untuk melaksanakan ibadat.
    
Menerusi program taklimat dan ziarah misalnya, pusat berkenaan yang mempunyai empat kaunselor mendekati jemaah haji dalam kelompok-kelompok kecil bagi mengenalpasti masalah yang dihadapi mereka.
    
"Selain itu, jemaah haji juga boleh mendapatkan khidmat kaunselor secara bersemuka dengan mengunjungi pusat berkenaan atau menghubungi pusat berkenaan menerusi talian 012-5706600," katanya. - Bernama

Share on Myspace