Semoga episod ini tidak berulang di bumi Malaysia

HARAKAHDAILY | .

Seusai peristiwa Bersih 4, negara digemparkan dengan peristiwa pemijakan foto yang diedit melibatkan pimpinan utama PAS, Datuk Seri Tuan Gurui Abdul Hadi Awang dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak oleh sebahagian kecil peserta-peserta Bersih 4.

Peristiwa yang kita rasa tidak wajar berlaku di negara merdeka yang kita cintai ini.

PAS merasa sedih atas apa yang berlaku kerana ia melibatkan pimpinan utama parti ini.  

Namun, PAS merasakan ia dilakukan mungkin kerana pelaku mendapat informasi yang salah tentang pendirian Presiden PAS, khususnya dan Parti PAS umumnya dalam masalah politik negara.

Walaupun begitu, tindakan memijak foto tidak sepatutnya berlaku kepada mana-mana individu di dalam negara ini terutamanya para pemimpin sama ada kerajaan atau pembangkang.

PAS tegaskan sekali lagi bahawa PAS tetap berpendirian tidak akan bersama dengan Umno dalam masalah politik dan ekonomi yang melanda negara sekarang ini.

Pintu PAS sentiasa terbuka kepada semua pihak sama ada Islam dan bukan Islam yang ingin mendapat gambaran sebenar pendirian PAS ini.

PAS berpendapat peristiwa memijak foto tersebut boleh menjadi punca ketegangan yang lebih parah di masa hadapan.

Ia mungkin akan disabotaj oleh pihak-pihak tertentu dan berkemungkinan berlakunya acara pijak-memijak foto yang tidak berkesudahan dan ini sudah tentunya akan mencetuskan ketegangan yang berpanjangan.

Justeru PAS memaafkan pelaku tersebut dan mendoakan semoga mereka diberi hidayah dengan kebaikan Islam dan semoga negara ini tetap terpelihara dengan kerahmatan Allah SWT.

Semoga episod ini tidak berulang di bumi Malaysia tercinta ini. - HARAKAHDAILY 1/9/2015
 
Datuk Dr Mahfodz Mohamed
Pesuruhjaya PAS Negeri Johor
1 September 2015

Share on Myspace