MB harap keluarga murid Orang Asli bersabar

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berharap pihak keluarga murid Orang Asli daripada Sekolah Kebangsaan Tohoi bersabar dan usaha mencari mestilah dipertingkatkan daripada semua pihak.

Ini berkaitan insiden kehilangan seramai tujuh orang murid Orang Asli daripada Sekolah Kebangsaan Tohoi semenjak 11 hari lalu.

Kelmarin, beliau sempat hadir sendiri ke Pos Tohoi setelah selesai Sambutan Hari Kebangsaan 2015 bagi meninjau perkembangan tersebut secara dekat dan mendapat taklimat daripada pihak polis tentang usaha yang telah dilakukan.

"Walaupun operasi pencarian ini sedikit rumit memandangkan kawasan di sekitar Pos Tohoi ini terlalu luas serta laluannya yang berbukit, namun hasil usaha semua pihak yang bertungkus-lumus sejak hari kehilangan mereka, insya allah akan memudahkan lagi urusan ini," ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Justeru, kata beliau semua pihak terutamanya pihak berwajib mestilah mengerahkan pasukan masing-masing bagi menjayakan operasi pencarian itu.

"Saya sangat berterima kasih kepada pihak anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penduduk kampung sendiri yang telah berusaha sedaya mungkin bagi operasi menyelamat tujuh orang pelajar terbabit," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 2/9/2015

Share on Myspace