YB rujuk status perkahwinan di mahkamah - Mufti

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Wakil rakyat yang bertanding atas tiket PAS namun menyertai parti lain perlu meletakkan jawatan sekiranya mereka masih lagi mempertahankan moral.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata perkara itu perlu dilakukan berdasar baiah yang ditandatangani mereka sebelum bertanding dalam pilihan raya lepas.

Katanya, baiah ialah dokumen seumpama ‘akujanji’ oleh ahli yang menjadi calon wakil rakyat sebagai mewakili PAS.

“Walau pun dari segi undang-undang bekas ahli PAS masih sah menjadi wakil rakyat, tetapi tidak elok mereka mengekalkan jawatan kerana bukan lagi anggota parti,” katanya sidang media di JKR 10 di sini petang semalam.

Turut hadir Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Abdullah dan Ketua Pemuda PAS negeri, Ahmad Fadhli Shaari.

Manakala dalam perkembangan berkaitan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Muhammad menjelaskan wakil rakyat PAS yang menyertai parti lain dinasihat merujuk status perkahwinan di mahkamah syariah berikutan baiah cerai talak tiga.

Menurutnya berdasar laporan sebuah akhbar hari ini, hakim akan meneliti perkara tersebut secara mendalam sebelum membuat keputusan.

Takiyuddin yang juga anggota parlimen Kota Bharu berkata, biar pun bekas pemimpin PAS terbabit masih lagi sah sebagai wakil rakyat namun elaun mereka ambil boleh disifatkan haram.

Katanya juga PAS akan menghantar surat rasmi kepada 22 ahli yang dilantik sebagai jawatankuasa Parti Pekerja Malaysia dalam tempoh terdekat.

“Selain itu lampiran salinan baiah kepada wakil rakyat terlibat juga akan dihantar. Surat tersebut sebagai peringatan mereka yang terlibat dalam parti baharu itu bukan lagi ahli PAS,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau tindakan tatatertib tidak akan diambil memandangkan secara automatik mereka bukan lagi ahli PAS selepas menyertai parti lain.

Mohd Amar pula berkata, pendirian parti jelas di mana seseorang yang terlibat dengan parti baharu perlu meletak jawatan.

"Beberapa wakil rakyat yang terlibat dalam parti baharu perlu letak jawatan kerana mereka menang setelah bertanding atas tiket PAS.

“Semua calon PAS yang bertanding perlu berbaiah dan di Kelantan ditambah dengan lafaz taklik,” tambahnya. - HARAKAHDAILY 2/9/2015

Share on Myspace