Pijak gambar: Tidak wajar imej ulama dunia diaibkan

JUHANI RAHMAN | .

SHAH ALAM: Insiden gambar yang dikatakan menyerupai Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang dipijak beberapa peserta Bersih 4.0 minggu lalu disifatkan tidak wajar dan memalukan.

AJK PAS Pusat, Ustaz Nor Azli Musa berkata, tindakan itu perlu ditolak oleh semua pihak apatah lagi imej yang dipijak itu adalah seorang tokoh yang diiktiraf dunia.

"Beliau seorang ulama yang diiktiraf dan dihormati seluruh dunia, jadi perbuatan provokasi seperti memijak gambar beliau itu tidak patut dan perlu dihentikan daripada menjadi budaya masyarakat kita," ujarnya kepada pemberita di hadapan IPD, dekat sini, petang ini.

Beliau berkata demikian selepas seluruh sayap PAS Selangor membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa menyiasat perbuatan itu dan membawa pelakunya ke muka pengadilan.

Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Selangor, Datuk K Deepakaran yang mengetuai kumpulan untuk membuat laporan itu pula berkata, insiden itu seperti mempunyai niat dengan sengaja untuk menghina dan mengaibkan kehormatan Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Dalam pada itu, beliau juga menyelar sikap penganjur Bersih 4.0 yang dikatakan sengaja memberi peluang kepada peserta untuk bertindak demikian.

"Saya minta polis membuat siasatan terhadap penganjur dan peserta Bersih 4.0 yang memijak gambar itu dibawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan," ujarnya membaca laporan dibuat.

Sementara itu, Dewan Ulamak PAS Selangor yang turut hadir mengecam perbuatan itu menuntut agar pihak yang bertanggungjawab memijak gambar itu meminta maaf.

Setiausaha, Ustaz Muhammad Najhan Halim berkata, segelintir pihak pula masih mengapi-apikan isu berkaitan PAS dan Umno sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

"Tuan Guru Presiden PAS langsung tidak layak diperlakukan sedemikian rupa tanpa sebarang kesalahan berat dan kezaliman.

"Kami berharap agar perbuatan sebegini tidak berulang pada masa akan datang," ujarnya.

Turut hadir, Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Syarhan Humaizi Abdul Halim; Ketua Muslimat PAS Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan; pimpinan serta ahli PAS. - HARAKAHDAILY 2/9/2015

Share on Myspace