Tindakan hanya selepas isi borang parti baru

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: PAS tidak mengambil tindakan hanya berdasar ada wakil rakyatnya hadir mendengar ceramah yang dianjurkan parti lain.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata tindakan hanya diambil apabila pemimpin terbabit mengisi borang parti lain termasuk Parti Pekerja Malaysia (PPM).

“Sekiranya wakil-wakil rakyat PAS hadir pada program Gerakan Harapan Baru itu belum boleh disabitkan mereka telah terkeluar parti.

“Kecualilah mereka secara jelas mengisi borang dan mengisytiharkan telah menyertai parti lain termasuk PPM.

“Ketika itu mereka secara automatik sudah gugur sebagai ahli PAS,” katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kota Darulnaim hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata PAS tidak pernah menyekat mana-mana ahli parti menghadiri program ceramah dianjur Harapan Baru.

Bagaimanapun PAS Kelantan sentiasa memantau pergerakan Harapan Baru di negeri tersebut, yang sedang menganjurkan program jelajahnya.

Menurut beliau pihaknya sentiasa menerima laporan mana-mana parti yang mengadakan program di Kelantan dan bukan hanya dari Harapan Baru semata-mata.

“Memang ada laporan. Kita sentiasa peka. Maklumat berkaitan kehadiran dan sebagainya semua ada pada kita,” ujarnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan.

Katanya mereka boleh melakukan aktiviti di Kelantan berdasar amalan demokrasi.

“Bagaimanapun PPM tidak lagi boleh menggunakan premis PAS memandangkan mereka bukan lagi anggota parti,” ujarnya.

Beliau juga menasihatkan wakil rakyat PAS yang menyertai parti lain terlebih dahulu merujuk kepada Mahkamah Syariah kerana sebelum ini mereka terbabit lafaz taklik. - HARAKAHDAILY 2/9/2015

Share on Myspace