Semangat ke Kongres Rakyat kerana suasana Bersih 4

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: PAS Melaka menyambut baik Kongres Rakyat yang akan diadakan nanti sebagai usaha membincangkan kemelut yang dihadapi rakyat negara ini.

Persuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Kamarudin Sidek ketika dihubungi berkata ahli-ahli di peringkat kawasan dan negeri telah menyatakan kesediaan untuk hadir pada kongres tersebut.

"Kita telah menerima surat dari PAS Pusat mengenai kongres tersebut dan telah menyatakan persetujuan hadir, seramai 50 orang ahli jawatankuasa peringkat negeri dan kawasan akan hadir.

"50 ahli jawatankuasa akan bertemu dengan ahli-ahli di semua peringkat bagi mengetahui jumlah sebenar yang akan hadir dan kita akan maklumkan pada mesyuarat PAS Melaka akan datang," katanya kepada Harakahdaily.

Menurut beliau lagi, suasana yang berlaku pada himpunan Bersih 4.0 lalu turut menaikkan semangat ahli-ahli PAS di negeri itu untuk hadir pada Kongres Rakyat.

"Bersih 4.0 kita tidak menggalakkan ahli untuk hadir, menyebabkan mereka bersemangat untuk hadir pada kongres yang akan diadakan nanti.

"Saya menjangkakan ramai ahli kita akan hadir, apatah lagi jarak antara Melaka dan Kuala Lumpur tidak jauh menyebabkan kehadiran akan lebih ramai," katanya lagi.

Kongres Rakyat yang dijadualkan berlangsung pada 12 September depan bertempat di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam akan dihadiri pemimpin politik, NGO, ahli akedemik serta golongan profesional. - HARAKAHDAILY 3/9/2015

Share on Myspace