Najib patut bertugas dari bilik tidurnya saja

SHAHBUDIN HUSIN | .

ISU wang sebanyak RM2,600 juta yang diterima Najib Razak secara peribadi daripada penderma Timur Tengah terus memberi hambatan kepadanya dari segi penilaian umum.

Setelah majoriti rakyat tidak percaya wang sebanyak itu sekadar derma dan sebahagian mereka telah menzahirkannya melalui kehadiran seramai 500 ribu orang dalam perhimpunan Bersih 4 baru-baru ini, kini giliran Transperancy International pula menghambatnya dengan pertanyaan mengenai wang tersebut.

Pengerusi Transperancy International, Jose Ugaz ketika berucap di majlis pembukaan Persidangan Anti Rasuah Antarabangsa di Putrajaya, secara terbuka dan berani bercakap di negara yang sedang ditadbir oleh Najib bahawa komitmen Malaysia untuk memerangi rasuah tidak boleh dianggap serius selagi tiada penjelasan diberikan mengenai wang tersebut.

"Terdapat dua persoalan yang perlu dijawab oleh Najib iaitu siapa bayar wang itu dan kenapa, serta ke mana ia pergi?" katanya.

Selain itu, Jose Ugaz juga mengkritik tindakan kerajaan memecat Gani Patail sebagai Peguam Negara, membubarkan pasukan petugas khas, cuba menahan dan memindahkan pegawai-pegawai SPRM serta menggantung permit akhbar The Edge.

Ia bukanlah tindakan yang betul untuk sebuah kerajaan yang ingin melawan rasuah, tegasnya sambil diberikan tepukan gemuruh oleh hadirin.

Memandangkan persidangan antarabangsa mengenai rasuah ini dihadiri oleh peserta daripada 130 buah negara, tepukan bergemuruh itu adalah lambang ejekan dunia terhadap perilaku Najib.

Meskipun ramai pemimpin dunia terlihat memiliki kekayaan luar biasa dan sering dikaitkan dengan rasuah, tetapi tidak pernah berlaku di mana-mana bahagian di dunia ini duit ribuan juta yang masuk ke akaun peribadi ketua negara cuba dibanggakan sebagai derma dan seolah-olah halal diterima.

Bukan saja siapa pendermanya tidak pernah didedahkan, malah tujuan wang itu diberikan kepada Najib juga berbagai-bagai tujuannya.

Mulanya ia dikatakan sebagai dana politik, kemudian beralih sebagai sumbangan untuk Umno memenangi pilihanraya, untuk memerangi IS atau Islamic State, menentang keganasan antarabangsa, melawan DAP yang kononnya didalangi Yahudi dan macam-macam lagi.

Pendeknya, jika ditanya kepada 100 pemimpin Umno pro Najib mengenai tujuan wang itu diberikan, pastilah 100 jawapan yang berbeza akan diperolehi.

Bagaimanapun Najib masih membisu dan enggan memberikan sebarang jawapan yang pasti mengenai tujuan wang itu diterima dan dimasukkan ke dalam akaun peribadinya, sebaliknya hanya berkata sedia menjelaskannya dalam perjumpaan tertutup kepada pemimpin-pemimpin UMNO.

Amatlah menghairankan kenapa benda yang sudah terbuka dan terdedah ke seluruh dunia hanya mahu diperjelaskan secara tertutup kepada pemimpin Umno sahaja?

Bagi  yang berani seperti Pengerusi Transperancy International itu, mereka akan meluahkan pertanyaan secara terbuka bila berpeluang bercakap mengenainya.  Bagi yang tidak sanggup menyoal secara terbuka pula, tentunya sedang memandang wajah Najib secara sinis dan dengan pandangan penuh seribu tanda tanya.

Keraguan mereka terhadap wibawa Najib akan terus bertambah dan mungkin juga ramai yang tidak mempercayainya lagi, terutama pemimpin-pemimpin dunia dan negara maju yang selama ini lantang bercakap soal rasuah dan ketelusan di negara masing-masing.

Sebagaimana majoriti rakyat Malaysia mula mencebik bibir dan semakin ingin menjauhinya sejak isu wang RM2,600 juta ini timbul, pemimpin dan masyarakat dunia pula pastinya lebih bersikap demikian terhadap Najib.

Bahkan, tidak mustahil di kalangan anggota kabinet sendiri ada yang secara diam-diam dan dalam hati turut sama memandang sinis dan hilang rasa hormat kepada Najib.

Dengan ini, Najib sepatutnya tidak lagi pergi ke mana-mana atau menemui sesiapa mulai sekarang. Beliau bukan saja memalukan negara, malah sepatutnya juga malu untuk bertemu dan berhadapan dengan sesiapa jua.

Sebaiknya beliau patut berhenti daripada bertemu rakyat dan berlagak seolah-olah suci di depan khalayak, begitu juga berhentilah daripada menerima kunjungan atau melawat ke mana-mana negara luar kerana pandangan sesiapa pun tidak lagi sama seperti dulu terhadapnya.

Mujurlah beliau tidak jadi merasmikan persidangan anti rasuah ini, jika tidak bukan kepalang malunya Najib diaibkan secara terbuka di hadapan orangramai dan peserta daripada 130 negara tersebut.

Namun, sebagai tuan rumah, kita tetap menanggung malu kerana topik perbincangan dalam persidangan anti rasuah kali ini bukan lagi melibatkan negara-negara seperti di benua Afrika misalnya, sebaliknya tertumpu kepada Malaysia sendiri.

Ini sekaligus bakal menjadikan indeks rasuah negara di peringkat antarabangsa akan mencanak naiknya dalam penilaian akan datang ini.

Untuk itu, jika masih ada perasaan malu yang tinggal bersisa, tetapi dalam masa yang sama ingin terus bertahan sebagai Perdana Menteri sehingga pilihanraya akan datang, Najib sepatutnya hanya sesuai mentadbir negara ini serta memberi arahan daripada bilik tidurnya saja.

Berkurunglah di Seri Perdana kerana hanya di sana ada yang tetap berbangga dengan wang RM2,600 juta itu.

Di luar dan di dunia yang terbuka, semua mata yang suci dan hati yang bersih sedang melihatnya dengan begitu jelek sekali sekarang ini. - shahbudindotcom.blogspot.com/

Share on Myspace