Aksi pijak gambar tindakan provokatif

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

IPOH: PAS Negeri Perak turut membuat laporan polis berikutan insiden memijak gambar Presiden PAS oleh pihak tidak bertanggungjawab ketika himpunan Bersih 4.0 tempoh hari.

Laporan itu telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh 3 hari ini dan ia diketuai oleh Setiausaha PAS negeri, Ustaz Mohd Zawawi Abu Hassan.

Bercakap kepada media, Mohd Zawawi berkata, PAS negeri mengharapkan pihak berkuasa melakukan siasatan terhadap insiden tersebut yang mencetuskan provokasi dan ketidakpuashatian dalam kalangan masyarakat khususnya ahli parti itu.

Kata beliau, aksi tersebut adalah satu tindakan provokatif yang menimbulkan pelbagai keresahan termasuklah huru-hara dan ia merupakan perkara berbentuk hasutan yang mengancam keselamatan negara.

"Tindakan ini boleh mengundang kepada ketidakharmonian dalam sebuah masyarakat, ia juga boleh mendorong reaksi balas yang tidak terkawal daripada pihak lain.

"Justeru, kami melihat perlakuan tersebut perlu diadukan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut berdasarkan undang-undang negara," katanya selepas selesai membuat laporan tersebut.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Mohd Hafez Sabri, Pengerusi Lajnah Mobilasi PAS negeri, Wan Tarmizi Abdul Aziz dan para penyokong parti Islam itu.

Adun Gunong Semanggol itu menjelaskan, tindakan memijak gambar Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang itu sangat tidak beradap dan telah mencemarkan imej beliau selaku Naib Ketua Kesatuan Ulamak Sedunia.

Jelas beliau, ia secara tidak langsung menghina dan mencabar kredibiliti Tuan Guru yang mengetuai satu parti politik sah dan berdaftar di Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.

"Tujuan menghina sedemikian rupa adalah satu tindakan yang tidak beradab dan mencabar pimpinan tertinggi PAS.

"Kami mendukung dan bersama-sama dengan Presiden kami. Diharap pihak berkuasa dapat menyiasat adakah ia satu tindakan provokatif dan disengajakan," tegasnya lagi.

Beliau menegaskan bahawa PAS bersetuju dengan himpunan yang diadakan itu namun sangat kesal dengan insiden yang tidak bertanggungjawab itu. - HARAKAHDAILY 3/9/2015

Share on Myspace