Dr Mahathir akan disiasat bawah Kanun Keseksaan

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad akan tetap dipanggil dan disiasat kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah ketika perhimpunan Bersih 4 di Dataran Merdeka di sini, hujung minggu lepas.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata bekas perdana menteri itu akan disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana beliau mendakwa ada ketua UMNO bahagian menerima rasuah.

Bagaimanapun, katanya Dr Mahathir belum lagi dimaklumkan mengenai siasatan itu.

"Saya sendiri akan maklumkan kepada beliau (Tun Mahathir) untuk ambil keterangan beliau dalam tempoh terdekat ini.

"Kita akan rakam percakapan beliau dan perlu siasat kerana kita sudah menerima laporan polis," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran berkaitan Teknologi Keselamatan Asia Tenggara (IFSEC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Beliau berkata walaupun Dr Mahathir akan dipanggil untuk siasatan namun status beliau sebagai seorang negarawan akan tetap dihormati dengan menjalankan soal siasat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) siasatan.

Semalam, Khalid berkata polis akan memanggil Dr Mahathir untuk diambil keterangan berhubung kenyataan yang dibuat di perhimpunan Bersih 4 itu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Khalid berkata polis telah memohon Bantuan Perundangan Bersama (MLA) daripada pihak berkuasa Thailand untuk menemubual bekas eksekutif PetroSaudi International, Xavier Andre Justo.

"Polis telah menghantar MLA kepada mereka (pihak berkuasa Thailand) tetapi belum ada maklum balas lagi," katanya.

Menurutnya, siasatan terhadap Justo masih diteruskan bagi melengkapkan siasatan membabitkan Pengerusi The Edge Media Group, Datuk Tong Kooi Ong dan penerbitnya, Ho Kay Tat berikutan penerbitan artikel berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Warga Switzerland itu kini menjalani hukuman penjara tiga tahun di Bangkok selepas didapati bersalah memeras ugut bekas majikannya. - Bernama

Share on Myspace