Bukan sahaja merdeka tetapi dengan siapa kita bergaul

JUHANI RAHMAN | .

KUALA LANGAT: Setiap bangsa dalam negara ini perlu berusaha memelihara tradisi yang dimiliki bagi memastikan perpaduan antara rakyat terus kukuh.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, tradisi antara kaum juga perlu diperkenalkan dari bangku sekolah supaya generasi muda boleh memahami dan berkenalan dengan lebih erat.

"Kita pun dalam bulan kemerdekaan sekarang dan sudah tentu apa yang perlu lebih kita fahami bukan sahaja erti merdeka, tetapi juga dengan siapa kita bergaul setiap hari.

"Usaha untuk kukuhkan perpaduan memang patut diteruskan dan kalau boleh libatkan juga bangsa-bangsa lain supaya kita boleh belajar mengenali satu sama lain," ujarnya di Dewan Persatuan Pendidikan Jasmani dan Sukan Ngor Chor, Jenjarom, dekat sini malam tadi.

Sebelum itu, beliau yang juga Adun Sijangkang merasmikan upacara 'buka mata' kepala singa yang baharu.

Sebanyak empat kepala singa yang baharu diperoleh persatuan itu untuk kegunaan penduduk disitu berlatih dan mengadakan persembahan tradisional.

Menurut penduduk disitu, upacara seumpama itu perlu dilakukan sebelum kepala singa tersebut boleh digunakan dalam tarian tradisional.

Sementara itu, Pengerusi Dewan Persatuan, Ang Kok Ching pula dalam ucapannya berkata, pihaknya berusaha untuk menambah pelbagai aktiviti baharu dalam usaha menjadikan Jenjarom sebagai pusat pelancongan baharu.

"Persatuan kami sedang menjalankan projek ubahsuai bangunan dan mendirikan bahagian pemuda sebagai galakan kepada golongan remaja untuk turut serta dalam aktiviti yang dianjurkan," ujarnya.

Sempena ulang tahun penubuhan persatuan itu yang ke-50, beliau turut mengundang orang ramai ke majlis berkenaan pada 20 September nanti. - HARAKAHDAILY 4/9/2015

Share on Myspace