Bila niat tunai haji akan muncul dugaan

MOHD SABRI SAID | .

KEPALA BATAS:  Yang Dipertua Majls Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP),  Datuk Saleh Man mengingatkan jemaah yang mahu menunaikan ibadah haji ke Mekah supaya tanamkan budaya sabar kerana pelbagai dugaan dan cabaran akan ditempuhi.

Lazimnya, mereka yang berazam dan mendapat giliran ke tanah suci terdedah dengan dugaan dan rintangan dari mula mendaftar sehinggalah selesai mendapat status haji.

"Apabila niat saja nak kerjakan ibadah haji akan muncul berbagai dugaan dan rintangan. Maklumlah di sana nanti kita akan bertembung dengan berbagai budaya, ragam jemaah dan seumpamanya," ujar beliau sewaktu berucap pada majlis Perjumpaan Calon Haji Musim 1436H di bawah kelolaan MAINPP dan Yayasan Al Bukhary di Masjid Abdullah Fahim, Bertam, Kepala Batas semalam.

Sikap jemaah haji kita sambungnya, tidak kasar, berhemah dan tertib ketika melaksanakan tanggungjawab haji berbanding negara lain.

Tabung Haji (TH) melalui Muasasah tegasnya, menguruskan perjalanan para jemaah di sana malahan berjaya memupuk pekerti sewaktu menjalankan ibadah haji.

Datuk Saleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Permatang Pasir menyeru mana-mana individu Islam yang mempunyai lebihan kewangan bolehlah menaja mana-mana individu yang tidak berkemampuan. – HARAKAHDAILY 4/9/2015

Share on Myspace