Zulqaedah: Masa untuk terus istiqamah

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

IPOH: Bulan Zulqaedah merupakan salah satu dari bulan-bulan haram dalam Islam dan di dalamnya terdapat pelbagai sirah yang perlu dijadikan ibrah serta muhasabah buat pendukung PAS.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Mohd Akmal Kamaruddin berkata, antara salah satu peristiwa besar yang berlaku dalam bulan Zulqaedah ini adalah Perjanjian Hudaibiyah.

Menurutnya, perjanjian tersebut pada asalnya dilihat berat sebelah dan memberi kelebihan kepada kaum musyrikin Makkah hingga ada daripada para sahabat Rasulullah SAW yang tidak bersetuju malahan tidak berpuas hati.

Namun katanya, dalam kalangan mereka tidak ada yang meninggalkan perjuangan dan menubuhkan jamaah lain malah mereka terus kekal istiqamah dalam perjuangan bersama Rasulullah SAW.

"Begitulah sifat wala' dan thiqah yang perlu diterapkan dalam diri pendukung jamaah.

"Selain itu, peristiwa Bai'atur Ridwan juga menjadi satu sirah penting buat kita, kecekalan dan kesediaan menghadapi sebarang kemungkinan samada syahid atau kemenangan menjadi teras pegangan kita selaku pendokong jamaah.

"Sifat menuntut bela atas nama Islam harus ada dalam diri setiap pejuang. Jangan dibiarkan pemimpin kita dihina dan diinjakkan, jangan ada dalam diri kita sifat merelakan Islam dipermainkan," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Mohd Akmal menyatakan, pejuang seharusnya mempunyai sifat qawieyul ameen wa hafizun alim dalam memperjuang serta mempertahankan Islam dan kepimpinannya.

"Diingatkan bahawa kita adalah penyambung mata rantai perjuangan dan jalan dakwah ini pastinya akan diuji.

"Diharapkan agar semua pendukung PAS yang juga pejuang Islam agar terus istiqamah dan mengikhlaskan diri dalam perjuangan ini," jelasnya lagi. - HARAKAHDAILY 4/9/2015

Share on Myspace