Penghayatan Islam: Umat kembali cipta kejayaan

JUHANI RAHMAN | .

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor senantiasa komited untuk menjadi model pentadbiran yang cemerlang berasaskan konsep "Baldatun Tayyibah" seperti yang pernah dikecapi kerajaan Saba' dan Madinah.

Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, gagasan yang besar itu sebenarnya sudah dimulakan melalui institusi strategik nuklies dengan usaha memakmurkan masjid dan kampung tradisional seluruh negeri.

Usaha itu, ujarnya, diharapkan dapat mencetuskan kesedaran dalam kalangan rakyat untuk kembali kepada landasan tauhid Ahli Sunnah wal Jamaah dan menghayati kedudukan Islam sebagai sebuah sistem kehidupan yang sempurna.

"Di samping itu, usaha untuk meningkatkan penghayatan dalam kalangan penjawat awam dan kepimpinan masyarakat setempat juga akan dilaksanakan dengan program seperti usrah keluarga.

"Usaha ini akan lebih berkesan apabila semua pihak mengambil inisiatif yang sama untuk meningkatkan kefahaman dan keyakinan rakyat," ujarnya semasa merasmikan Seminar Baldatun Tayyibah III: Model Kesultanan Melayu Nusantara, di Muzium Alam Shah, dekat sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat)  menjelaskan, hanya melalui penghayatan Islam yang sempurna sahaja umat ini akan kembali mencipta kejayaan seperti yang pernah dicapai oleh Kerajaan Islam Melayu Melaka sehingga dikenali di seluruh dunia.

"Kita mempunyai hubungan yang eksklusif dengan Khilafah Uthmaniyyah. Kita tidak lagi membayar ufti kepada kerajaan China. Majapahit juga menghormari kedaulatan kerajaan kita.

"Namun, akhirnya apabila pangkat dan kedudukan menjadi taruhan, apabila Islam bukan lagi menjadi keutamaan, maka sejarah mencatatkan kegemilangan kerajaan Islam Melayu Melaka lenyap pada 1511 di tangan Portugis," ujarnya yang juga Adun Sijangkang.

Kesan buruk daripada penjajahan itu, katanya, wilayah umat Islam dipecahkan selain menghadapi krisis akidah dan akhlak sehingga sanggup menganut liberalisme, pluralisme serta agnostik.

Seminar anjuran Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Selangor dengan kerjasama Padat itu menyaksikan sebanyak tujuh kertas kerja dibentangkan merangkumi sejarah kerajaan Islam di Alam Melayu dan hubungan antarabangsa. - HARAKAHDAILY 5/9/2015

Share on Myspace