Perleceh ulama dibimbangi datang 'tulah'

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Veteran PAS Subky Latif meluahkan rasa bimbang sekiranya dibiarkan pihak-pihak tertentu memperlecehkan ulama, didatangkan “tulah” oleh Allah Taala.

Kamus Dewan Edisi ketiga 1994 memberi makna tulah sebagai kemalangan yang menimpa kerana melanggar larangan.

Subky berkata pihak itu memperlecehkan ulama dengan pelbagai tohmahan termasuk mahu bekerjasama dengan Umno.

“Pada 1982 saya yang membawa usul di muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat supaya diwujudkan kepimpinan ulama.

“Ketika itu saya sebagai setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, dan Datuk Mustafa Ali sebagai ketua. Kemudian usul itu kemudiannya dilulus pada muktamar penuh yang diadakan di Bukit Mertajam.

“Usul tersebut dibuat selepas mengambil kira golongan ulama tertindas dalam tempoh begitu lama ketika negara berada di bawah penjajah,” katanya pada bengkel merakyatkan media anjuran Lajnah Penerangan dan Hubungan Media PAS Kelantan di sini semalam.

Bengkel tersebut yang disertai hampir 100 petugas penerangan dari seluruh Kelantan dirasmikan Timbalan Ketua Penerangan PAS Negeri, Dr Md Yusnan Yusof.

Bengkel sehari itu antaranya memuatkan slot penjelasan itu semasa disampaikan bekas Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Wan Ismail Wan Jusoh.

Selain itu peranan media baru oleh Pengarah IT PAS Pusat, Shuhami Embong dan bengkel menulis berita dikelolakan wakil Harakah Kelantan dan Penolong Editor Buletin Darulnaim, Tuan Mohd Nor Yahya.

Turut mengikuti bengkel tersebut anggota Exco kerajaan negeri, Mumtaz Md Nawi dan Adun Chempaka, Ustaz Ahmad Fathan Mahmood, wakil Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.

Subky juga berkata, cadangan untuk memastikan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS daripada kalangan ulama sudah lama disuarakan.

“Bilangan ahli Majlis Syura yang ada sebelum ini tidak sepadan dengan jumlah ahli PAS yang sudah lebih 1 juta orang.

“Sebab itulah jawatan presiden dan timbalan presiden mesti terdiri daripada ulama kerana mereka memahami agama secara lebih mendalam,” ujarnya.

Beliau yang juga pengasas Harakah menjelaskan usaha menerbitkan akhbar milik PAS itu begitu sukar biar pun setelah diberi izin permit oleh Kementerian Dalam Negeri pada Mac 1987.

Katanya, bagi menerbitkan edisi pertama tidak ada kilang yang sedia mencetak Harakah kecuali sebuah kilang milik akhbar Tamil.

Wan Ismail pula menjelaskan krisis dalaman yang berlaku dalam PAS sekarang adalah ulangan kedua episod yang pernah terjadi sebelum ini.

Menurutnya ada pihak yang terpengaruh dengan kefahaman sosialis cuba mendapatkan kedudukan lebih tinggi dalam hierarki pada muktamar lepas namun gagal.

“Mereka mahu menerapkan konsep sama rata dalam PAS yakni tidak ada kaya dan miskin. Sedangkan kefahaman itu bertentangan dengan Islam.

“Adanya tuntutan membayar zakat memberi makna tiada konsep sama rata dalam Islam. Zakat membolehkan orang kaya membantu rakyat miskin,” katanya.

Beliau juga mendakwa Umno mempunyai rangkaian cyber troopers sehingga lima orang di setiap Dun dengan dibayar gaji tetap bagi memberi imej negetif terhadap PAS dan pembangkang.

Katanya juga kefahaman masyarakat Cina terhadap usaha kerajaan Kelantan melaksanakan Kanun Jenayah Syariah masih tidak rendah kerana sering diberi gambaran negatif oleh media berbahasa Cina. - HARAKAHDAILY 6/9/2015

Share on Myspace