Majlis Ulama Indonesia semakin bebas

AHMAD MUHAJIR | .

Majlis Ulama Indonesia (MUI) yang diasaskan pada 17 Rejab 1395 Hijrah atau bersamaan dengan 26 Julai 1975, adalah atas kehendak umat Islam dan juga sesuai dengan keinginan pemerintah Indonesia, sebagai menjembatani antara aspirasi rakyat dengan harapan pemerintah untuk menyampaikan rancangan dan programnya dalam membangun negara dan kesejahteraan rakyat Indonesia. Pemerintahan Order Baru di bawah kepemimpinan Presiden Suharto baru Sembilan bulan berkuasa dan memerintah, dalam menjayakan “Akselarasi Pembangunan 25 Tahun Indonesia”.

Walaupun ide ini adalah buah pemikiran dari Centre Strategies 0f International Studies (CSIS), yang begitu rapat dengan Amerika Syarikat, dimana tokoh-tokoh atau aktor intelektualnya masa itu adalah Leftenan Jeneral (B) Ali Murtopo, Leftenan Jeneral (B) Sudjono Humardani, Dr Pang Lay Kim, dan banyak didokong oleh paderi Katholik Jesuit Romo Pater Beek, berasal dari Belanda. Kemudian sesudahnya ada Dr Daud Jusuf, mendiang Jeneral Loedwyk Benicditus Murdani.

Meski Presiden Suharto, selalu mengaku Garis-garis Besar Haluan Negara sebagai acuan atau dasar kepada program pembangunan yang dia jalankan tidak ada pengaruh CSIS, namun yang pasti banyak sekali polisinya sejalan dengan CSIS, seperti melarang dasar Islam, ceramah dan pengajian agama Islam di masjid dan surau mesti diawasi oleh special branch atau cawangan khas dari tentera mahupun polis, tidak bebas lagi gerakan mahasiswa, belia, pemuda dan pelajar melakukan aktivitinya, ini termasuklah gerakan pemuda belia dan pelajar, jika di sekolah hanya boleh Organisasi Siswa Intra Sekolah (OSIS), tidak boleh yang namanya Pelajar Islam Indonesia (PII) atau Ikatan Pelajar Muhammadiyah.

Di kampus-kampus hanya ada Senat Mahasiswa dan di peringkat universiti Badan Kerjasama Senat-Senat Mahasiswa (BKSSM), tidak boleh lagi yang namanya Himpunan Mahasiswa Islam (HMI), Ikatan Mahasiswa Muhammadiyah (IMM) atau Pegerakan Mahasiswa Islam Indonesia (PMII), ini dipanggiil Normalisasi Kehidupan Kampus dan yang namanya Dewan Mahasiswa diharamkan, tidak terkecualilah para ulama, ustaz, dai/pendakwah juga akan dikawal di antaranya melalui diwujudkannya Majlis Ulama Indonesia (MUI).
 
Namun manusia hanya merancang, perancangan Allah lebih bersama hamba-hambanyanya yang beriman, ikhlas dan soleh. Menteri Agama Indonesia masa itu Prof Dr Mukti Ali, yang cenderung agak sekular entah bagaimana meminta untuk menjadi Pengerusi atau Ketua Umum MUI yang pertama adalah Abuya Prof Dr Hamka, tokoh Muhammadiyah dan mantan aktivis Parti Islam Masyumi. Buya menerima dengan senang hati dan ikhlas, walaupun majoriti sahabat dan kawan-kawannya marah dan tiada ucapan selamat, namun Buya mengatakan saya bersama AJK MUI yang lain akan mengatakan yang benar itu benar dan yang salah itu tetap salah, walaupun itu pahit namun akan disampaikan dengan penuh hikmah beradab dan sangat bijakasana.

Buya masa itu menyebut MUI ibarat atau bagaikan “Kue Bika’ diatas panas di bawah pun panas. Panas di atas kerana menerima tekanan atau permintaan dari pemerintah untuk menyampaikan program dan polisi pembangunan kepada umat dan rakyat, sebaliknya panas dari bawah menyampaikan kehendak dan keinginan umat dan rakyat yang sesuai dengan Al Quran dan As Sunnah kepada pihak pemerintah, ternyata selama lima tahun MUI berjalan dengan baik dan bergerak dengan bebas, di tengah berbagai cabaran tribulasi dan cubaan dari berbagai pihak.

Termasuklah hasrat pemerintah ingin menjadi Aliran Kebatinan atau Agama Kejawen untuk menjadi agama rasmi, tidak boleh lagi parti atau pertubuhan Islam menjadikan Islam sebagai dasar atau asasnya, melarang rakyat terutama mahasiswa pemuda dan pelajar untuk berdemontrasi, ceramah agama tidak bebas di masjid dan surau, ternyata ini ditolak oleh MUI bersama pertubuhan Islam yang lain serta Parti Persatuan Pembangunan di Parlimen. Setelah itu berbagai fitnah ditujukan kepada umat Islam yang namanya Komando Jihadlah, Teror Warman dan sebagainya, serta ada beberapa pemimpin pertubuhan Islam dan pendakwah ditangkap.

Di antaranya Prof Dr Ismail Suny,SH,McL, Ir Muhammad ‘Imaduddin ‘Abdulrahim,Msc, Haji Mahbub Djunaidi, Drs AM Fatwa. Pada bulan Mac 1980 keluar pulalah Pernyataan Keprihatinan dari Kumpulan 50 yang antara lain ditandatangani oleh Dr Ali Akbar, M.Natsir, Jeneral Dr AH Nasution, Prof Dr Kasman Singodimedjo, Ir HM Sanusi, Leftenan Jeneral Marin (B) Ali Sadikin dan banyak lagi yang dengan tegas mengkritik ucapan Presiden Suharto di Pekan Baru, Riau dan Markas Komando Tentera Darat di Cijantung Jakarta Timur.

Yang mengatakan siapa melawan atau mengkritik Suharto, keluarga dan kroninya bererti melawan Pancasila dan Pemerintah, seolah-olah Suharto, keluarga dan kroninya itu adalah Pancasila dan Pemerintah, akhirnya tokoh-tokoh yang 50 orang itu adalah tokoh subversif dan dilarang ke luar negara dan tidak boleh membuat pinjaman bank. Suharto semakin dipengaruhi oleh isteri dan anak-anaknya, tentera semakin zalim, parti yang yang berkuasa hanyalah Golongan Karya. Masa itu Pancasila didoktrin dan didogmakan seperti agama, sementara fahaman sekularisme pluralisme dan liberalisme menjadi-jadi.

Maka beberapa bulan sebelum Krismas atau Natal Disember 1980 keluarlah Fatwa MUI yang melarang umat Islam, menghadiri peringatan atau ucapan Hari Krismas atau Natal, di sinilah hubungan MUI dengan pemerintah kembali menjadi panas, Suharto terkejut dan meminta melalui menteri agamanya masa itu Leftenan Jenal (B) Alamsjah Ratuperwiranegara, agar fatwa itu ditarik balik, atau menteri agama letak jawatan, namun Hamka dengan tegas mengatakan tidak akan mencabut dan dia bersedia meletak jawatan sebagai Ketua Umum MUI.

Beberapa bulan sebelum meninggal pada 24 Julai 1981, beliau meletak jawatan sebagai Pengerusi MUI dan digantikan oleh Kyai Haji Syukri Ghazali. Padahal semasa menjadi ketua umum MUI, Hamka sudah dikritik oleh pelajar-pelajar Islam “Buya bagaimana dengan MUI ini dalam kepengurusannya pelindungnya adalah Presiden Suharto, Suharto sendiri tidak boleh melindungi diri dari kezaliman dan kejahatannya”. Begitu pula semasa beliau menjadi Ketua Umum MUI sudah jarang menziarahi guru dan abang iparnya Buya Ahmad Rasyid Sutan Mansur.

Kata Sutan Mansur “sudah enak pula duit pemerintah oleh tuanku muda? Tidak datang-datang lagi ke mari”, Buya Hamka tidak menjawab hanya menjawab dengan “tangisan” entah bagaimana menangisnya orang tua yang kala itu sudah berumur lebih 70 tahun. Kerana yang menegurnya adalah orang yang disayanginya setelah ayah dan ibunya, murabbi yang mendidik ruh dan akal budinya. Semasa pengerusi MUI tetap sibuk sebagai imam besar Masjid Agung Al Azhar Kebayoran Baru Jakarta, menjadi khatib, kuliah subuh dan dijemput berceramah ke seluruh Indonesia, juga mendapat jemputan dari berbagai Negara umat Islam, selain setia menulis dari kolom Hati Ke Hati dalam majalah yang diasaskannya Majalah Islam Panji Masyarakat.

Kini Prof Dr Hamka sudah meninggalkan 34 tahun yang lalu, majalah Panji Masyarakat pun sudah tidak terbit, dua orang puteranya Rusjdi Hamka sudah meninggal tahun lalu dan beberapa bulan yang lalu, juga sudah berpulang ke rahmatullah Irfan Hamka. MUI sudah berkali mengadakan Musyawarah Nasional (Munas), setelah Syukri Ghazali diganti pula oleh Kyai Haji Hasan Basri, setelah itu Prof Kyai Haji Ali Yafie dan digantikan oleh Prof Kyai Haji Ahmad Sahal Mahfuz, kemudian diganti pula oleh Prof Dr H Din Syamsuddin.

Pada Munasnya yang berlangsung Ogos bulan lalu di Surabaya, Ketua Umum MUI terpilih adalah Dr Kyai Haji Ma’aruf Amin, dibantu oleh dua orang wakil Ketua Umum iaitu Prof Dr KH Yunahar Ilyas dan Drs H Slamet EffendiYusuf serta 12 ketua-ketua lainnya, dengan Setiusaha Agung Dr Anwar Abbas dibantu oleh 8 orang penolong setiausaha agung dan bendahari umum Prof Dr Hjh Amani Lubis, sedangkan Prof Dr Din Syamsuddin sebagai Ketua Dewan Pertimbangan dengan tiga orang wakil ketua Prof Dr Nasaruddin Umar, Prof Dr Didin Hafidhuddin dan Prof Dr Azyumadi Azra, MA.

Nampaknya dalam kepengurusan inti MUI 2015 sampai 2020 ini, tidak ada lagi dari kalangan sekular plural liberal qadiani atau dari unsur agama sesat lainnya. Kini MUI nampaknya kembali ke zaman allahyarham Prof Dr Hamka, lebih bebas dan independen bersama berbagai pertubuhan Islam dapat terus berdakwah memelihara dan menyelamatkan akidah umat di Indonesia, soalnya kini sejauh manakah rejim Ir Joko Widodo dan Drs M Jusuf Kalla ini, mahu mendengarkan suara MUI dan aspirasi umat Islam. - HARAKAHDAILY 6/9/2015

Share on Myspace