PAS lemah? Jangan ‘hentam keromo’ kritik lebih objektif

HARAKAHDAILY | .

Pengulas politik yang menyatakan PAS semakin lemah barang kali mengalami keracunan oleh akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian, Malaysiakini atau The MaIaysian Insider.

Cubalah menjadi lebih objektif sedikit. Ada berapa kawasan dalam PAS? 191 kawasan. Hanya ada berapa kawasan yang dikatakan bermasalah dengan GHB? 16 kawasan?

Cuba ‘check’ berapakah bilangan keahlian baru diterima Parti Pekerja-Pekerja Malaysia yang diasaskan Gangga Nayar itu? Pergi tengok dan nilaikan sendiri.

Jangan ‘hentam keromo’ dan pergi tengok sendiri berapa permohonan keahlian baru di Pejabat Agung PAS yang kini melebihi 9,000 setiap bulan.

Pergi sendiri ke program himpunan Pihak anjuran PAS di setiap negeri. Bandingkan dengan anjuran GHB.

Tengok dan cuba faham mesej dari kajian UMcedel berkaitan pemimpin tertinggi parti politik utama yang paling diterima rakyat pada Januari 2015 (itu sebelum meletup isu derma RM2.6b, 1MDB, Mara, Tabung Haji).

Atau kajian sikap terhadap Bersih 4 oleh Merdeka Centre sebelum ia berlangsung. Apa yang jadi kenyataan pada hari berkenaan dengan 90% didominasi kaum Cina?

Atau mesej dari keputusan Muktamar PAS sendiri Jun 2015. 80% mendukung kepimpinan Datuk Seri Tuan Guru Abdu Hadi Awang berbanding 20% yang mendukung kumpulan kecewa yang masih mencari hala tuju bebekalkan dukungan kuat oleh DAP. Perwakilan yang terdiri dari pemimpin pemimpin yg paling berpengaruh di kawasan masing masing bukan calang calang orang, bukan tidak tahu realiti politik sekeliling.

Kita sangat mengalu alukan sebarang kajian bebas yang lebih konklusif oleh mana-mana pihak termasuk para pengkaji sains politik.

Kelihatannya bagi kelompok terbesar rakyat iaitulah orang orang Islam yang lebih 90% berbangsa Melayu, fokus sebenar adalah antara Umno dengan PAS sahaja.

Pasma atau G18 atau Gerakan Harapan Baru atau Harapan Baru atau Parti Islam Progresif atau Kita atau Parti Amanah Negara atau Parti Pekerja Pekerja Malaysia, kelihatannya tidak lebih dari pemecah undi yang mempunyai kepentingan lain.

Yang menerima manfaat dari kehadiran mereka adalah DAP dan Umno.

DAP untuk pastikan terus ada orang Melayu yang didorong untuk undi mereka. Dalam masa yang sama menyekat PAS dari kemenangan dengan undi yang berpecah. DAP mahukan satu pakatan yang mereka kekal paling dominan, memenangi kerusi paling banyak. Jika PAS memenangi lebih banyak, DAP tidak lagi paling berpengaruh untuk tentukan segala-galanya dalam pakatan yang dibentuk.

Umno terus mendapat manfaat dengan undi PAS yang berpecah.

Skripnya begini. Kononnya wujudkan gelombang sokongan kepada kumpulan kecewa ini di seluruh negara. Apa bila nampak masak ranum, mereka kononnya akan tawarkan untuk berunding dengan PAS. Beri kerusi kerusi tertentu kepada mereka sebagai syarat mereka tak kacau daun letak calon di kerusi-kerusi PAS yang lain. Sebenarnya kepentingan peribadi. Yang terpinga-pinga ialah penyokong penyokong yang bakal terabai nanti.

Ini sebijik taktik kacau daun di pilihan raya kampus universiti berpuluh tahun dulu.

Moga PAS lebih berhati-hati.

AHMAD AMZAD HASHIM
Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat
- HARAKAHDAILY 7/9/2015

Share on Myspace