PAS gesa kerajaan bentang draf TPPA

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: PAS menuntut agar draf Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang telah melalui rundingan terakhir pada Ogos lalu di Hawaii dibentang kepada rakyat sebelum persidangan Dewan Rakyat pada 19 Oktober nanti.

Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan berkata ia bertujuan agar rakyat boleh terlibat sma dalam konsultasi khas semasa proses pembentukan sesebuah dasar utama negara.

"Kita mahu Kementerian Perdagangan Antarabangsa (Miti)  membentangkan draf terkini perjanjian tersebut agar rakyat mengetahui apa kandungannya.

"PAS difahamkan draf terkini perjanjian tersebut telah lengkap dan hanya menunggu untuk ditandatangani sahaja," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, perbentangan perjanjian tersebut perlu dilakukan segera bagi mengelakkan sebarang unsur prejudis dan meningkatkan tahap ketelusan sebelum ia diputuskan oleh kerajaan.

"Rakyat masih belum mendapat kefahaman yang jelas berhubung perjanjian ini. Walhal, ia akan memberi kesan besar dalam kehidupan mereka.

"Mengapa MITI masih berselindung dan tidak mahu membentangkan draf ini secara terbuka? Terdapat pelbagai isu penting yang perlu diperincikan contohnya isu tender dan perolehan, analisis kos faedah serta persediaan sektor perusahaan kecil dan sederhana.

"Bagaimana ingin mendapatkan sokongan keyakinan rakyat sedangkan intipati perjanjian masih belum dibentangkan secara telus dan terbuka," katanya lagi.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu juga tidak mahu perbahasan draf terakhir itu hanya berlaku di peringkat Parlimen sahaja dan kemungkinan ia hanya diluluskan oleh Dewan Rakyat dalam tempoh sehari.

Katanya, kemungkinan input yang dibahaskan tidak matang, tergesa-gesa dan tidak mendapat sokongan majoriti besar ahli dewan apatah lagi masyarakat Malaysia sehingga memperjudikan masa depan negara. - HARAKAHDAILY 7/9/2015

Share on Myspace