Perjuangan: Mereka faham pemimpin boleh pergi

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS menggunakan pendekatan yang berbeza untuk menarik segmen masyarakat yang berbagai latar belakang untuk bersama parti itu.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, kepimpinan PAS yang terdiri daripada ulama, profesional dan aktivis parti mempunyai peminat dan pengikut yang tersendiri.

"Ertinya mereka yang minat kepada PAS akan masuk daripada berbagai pintu untuk berjuang bersama PAS. Ini menjadikan mereka tidak kekok bersama dengan PAS," ujarnya.

Oleh sebab itu, kata beliau PAS sebagai sebuah gerakan massa, yang terdiri daripada berbagai kelompok manusia.

Beliau menambah, nikmat yang Allah SWT berikan kepada PAS ialah adanya ahli yang ikhlas kepada Allah SWT.

"Nawaitu mereka di dalam PAS kerana PAS berpegang dengan dasar Islam," jelas Ahli Parlimen Bukit Gantang itu lagi.

Menurutnya, walaupun mereka tidak belajar tinggi, tetapi kefahaman dan penghayatan mereka begitu tinggi.

Tegasnya, mereka tidak akan meninggalkan PAS di dalam apa keadaan sekalipun kecuali PAS membuang dasar Islam.

"Mereka faham pemimpin boleh pergi, tetapi perjuangan mesti diteruskan," ujarnya. - HARAKAHDAILY 7/9/2015

Share on Myspace