Mencari kelainan Utusan di helaian Harakah

M FAQIH | .

TIADA lagi catatan “Anekdot Ahad” yang sering kelihatan di muka surat tujuh Mingguan Malaysia. Sekarang helaian itu diisi dengan komentar “Warung Rakyat”.

Kehilangan kolum itu pernah digegerkan seketika sebelum ini. Pengarang Mingguan Malaysia terbabit pada kolumnya sebelum itu menolak wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak, sebagai wang Umno.

Tulis Ku Seman Ku Hussein lagi, "bila didedahkan sebagai wang Umno, maka orang Umno memikul biawak hidup."

Catatan itu rupa-rupanya mengundang tidak senang Ketua Pengarah Jasa, Datuk Dr Puad Zarkashi dan Menteri Komunikasi dan Multimedia baru, Datuk Dr Salleh Said Keruak.

Ketika isu itu membahang, Ku Seman menulis Utusan Malaysia bukan jurucakap parti seperti Harakah.

"Saya diberi kebebasan pihak pengurusan dan saya percaya kebebasan itu diberikan oleh Umno untuk mengkritik kerana Utusan berbeza daripada Harakah.

"Harakah merupakan lidah rasmi PAS, manakala Utusan adalah akhbar dan ia perlu bertindak seperti akhbar dan bukannya jurucakap parti," katanya seperti disiar sebuah laman web.

Mengapa tiba-tiba Harakah menjadi perbandingan oleh Ku Seman. Permit penerbitan Harakah diberi nama atas surat berita, tidak jauh berbeza dengan risalah parti.

Utusan Melayu diasas Yusof Ishak melalui duit yang dikumpul pemimpin-pemimpin Melayu di Singapura pada 1938. Ini suatu perbezaan. Di era penjajah setiap penerbitan tidak memerlukan permit.

Sesiapa yang ada wang boleh menerbit akhbar sendiri. Yusof ketika itu Pengurus Utusan Melayu Press Limited. Naskhah pertama Utusan Melayu diterbitkan 29 Mei 1939. Akhbar milik orang Melayu itu bermula di Singapura.

“Ketika itu Lee Kuan Yew bertindak sebagai penasihat undang-undang Utusan. Jadi hampir setiap hari dia datang ke pejabat Utusan.

“Di situ beliau belajar menguasai politik orang Melayu sehingga ramai pekerja Utusan menyertai Parti Tindakan Rakyat,” kata wartawan veteran Subky Latif.

Parti politik termasuk Parti Negara dan Parti Rakyat juga menerbit akhbar sendiri.

Bagaimanapun ujar Subky, selepas negara mencapai kemerdekaan, semua akhbar memerlukan permit daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Selepas itu Utusan dipindahkan ke Kuala Lumpur. Umno menguasai Utusan sehingga Yusof Ishak disingkirkan.

Berikutan itu pekerja-pekerja Utusan melancarkan mogok diketuai Said Zahari pada 1961. Bermula dari situlah Utusan berdenyut nadi Umno.

Biarpun Ku Seman seperti memperlihatkan Utusan sebuah akhbar bebas, namun sejarah yang berlaku tidak dapat dinafikan.

Boleh dikatakan Utusan juga lidah rasmi Umno, seperti juga Harakah yang cuba digambarkan, media milik PAS.   

Harakah juga ada jalur-jalur kebebasan bagi mematang demokrasi dengan cara tersendiri. Berita menegur pemimpin dengan cara beradab tidak disekat.

Mungkinkah Ku Seman menjejaki kolumnis tertentu yang pernah mewarnai Harakah sebelum ini. Shakur Harun dan Dinsman mempunyai gelanggang yang lama di Harakah.

Kelibat segmen di bawah kelolaan mereka juga tidak kelihatan lagi sekarang. Khabarnya mereka mendokong fikrah lain. Mungkin mereka peminat Islam yang diuar-uar progresif.

Begitu juga laman Sastera dan Budaya juga tidak muncul sejak Ogos lepas. Sedangkan ruangan itu ada peminatnya. Harakah perlu mengambil kira pentaksub seni yang mendokong fitrah dibawa pewaris Nabi SAW.

Puisi dan komentar resam hidup setidak-tidaknya dapat dinukil bagi melebarkan pengaruh gerakan Islam di sisi berbeza.

Mahathir murah hati

Kata Subky, tidak mudah bagi menerbitkan Harakah selepas Dr Mahathir Mohamad bermurah hati meluluskan permit selepas dimohon Ustaz Nakhaie Ahmad.

“Saya masih ingat sebelum Harakah mendapat permit, saya diberi peranan menerbitkan risalah PAS. Saya minta ketua-ketua penerangan PAS melanggan beberapa keluaran risalah itu.

“Kita cetak berdasar isu semasa yang berlaku ketika itu. Kalau dalam konteks sekarang seperti isu 1MDB dan wang derma RM2.6 bilion.

“Selepas mencetak risalah khas itu, tiba-tiba KDN memberi permit Harakah. Disebabkan tiada petugas berita saya minta PAS kawasan menghantar sukarelawan untuk dilatih,” katanya ketika berkongsi pengalaman di bengkel merakyatkan media di sini Sabtu lalu.

Antara pemberita yang dilahirkan daripada latihan tanpa bergaji itu kata Subky, termasuk Ahmad Lutfi Othman dan Zulkifli Sulong.

Bagaimanapun selepas ada tenaga pemberita, usaha untuk mencetak Harakah pula berdepan dengan masalah. Tiada pencetak yang sanggup di Kuala Lumpur kecuali kilang milik akhbar Tamil.

Bagaimanapun bagi mencetak edisi kedua, pencetak tersebut pula tidak sanggup. Harakah kemudian mencetak di kilang Poligraf milik seorang tauke kenalan Subky.

Tidak lama kemudian masalah lama muncul lagi. Abim mengambil alih kilang tersebut.

“Pemimpin Abim pula mahu menyemak setiap berita dan rencana yang dimuatkan Harakah sebelum dicetak. Saya mengikut sahaja kehendak mereka.

“Bagaimanapun pada suatu malam petugas Abim tidak menyemak artwork yang dihantar.

“Abim berterus terang tidak mahu lagi mencetak Harakah,” ujarnya.

Berikutan itu Subky terpaksa mencari pencetak lain. Ketika itu jam sudah jam 1 pagi. Pengedar Harakah sudah ramai menunggu di kilang.

Akhirnya ada kilang di Pulau Pinang yang sanggup mencetak Harakah.

Cikgu Ishak Surin diberi peranan membawa artwork Harakah untuk dicetak di Pulau Pinang. Harakah kemudian dibawa pula ke Kuala Lumpur untuk dijual. “Ia benar-benar mengejutkan pemimpin Abim,” ujar Subky.

Ketika Ku Seman mencabar Puad dan Salleh berdebat isu derma RM2.6 bilion kerana gangguan kebebasan berkarya di Utusan, Harakah terus memayung kepimpinan ulama.

Seperti kata William R. Roff - Utusan Melayu menyimpan identiti sebagai akhbar perjuangan orang Melayu.

Tidak kurang juga Harakah. “Rakyat mendapat maklumat alternatif melalui Harakah,” kata Dr Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak. - HARAKAHDAILY 7/9/2015

Share on Myspace