Terlalu awal kaitkan kereta terbakar dengan Morais

BERNAMA | .

 

HUTAN MELINTANG: Polis memerlukan masa sekurang-kurangnya seminggu untuk menjalankan siasatan serta mengenal pasti pemilik kereta yang ditemui terbakar di ladang kelapa sawit Kampung Sungai Samak di Hilir Perak, pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata masih terlalu awal untuk mengaitkan kereta itu milik Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara Anthony Kevin Morais.

"Berdasarkan hasil siasatan, kita tidak menjangkakan sebarang penemuan untuk hari ini atau esok kerana siasatan kes ini memerlukan masa yang agak lama," katanya pada sidang akhbar di Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat di Jeti Hutan Melintang di sini, Isnin.

Beliau berkata bukti yang ditemui perlu di bawa ke Jabatan Kimia serta Unit Forensik untuk pemeriksaan lanjut.

"Kita masih menunggu hasil siasatan terperinci daripada Jabatan Kimia dan Unit Forensik yang datang membantu untuk mengenal pasti bahan bukti yang telah hangus terbakar," katanya.

Mohd Shuhaily berkata pihaknya turut mendapatkan bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul serta syarikat Spanco Sdn Bhd untuk menyiasat kes tersebut.

Sementara itu, Mohd Shuhaily menafikan dakwaan kononnya terdapat sebarang dokumen diperoleh di tempat kejadian kerana semuanya telah hangus terbakar.

Morais dikatakan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, Kuala Lumpur pada Jumaat lepas untuk ke pejabatnya di Putrajaya.

Beliau dilapor memandu kereta Proton Perdana berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran WA6264Q. - Bernama

Share on Myspace