Paras air Empangan Sungai Langat 50%

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Empangan Sungai Langat hanya menerima sehari bekalan air mentah daripada Sungai Semantan, Pahang ke Sungai Langat.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Selangor, Zaidy Abdul Talib berkata kapasiti air di Empangan Sungai Langat kini berada di tahap 50 peratus.

“Pada 24 Ogos lalu, sebanyak 300 juta liter air dipam bagi proses penyaluran kerana Empangan Sungai Langat berada di tahap rendah sehingga 44.24 peratus, tetapi proses itu dihentikan pada keesokannya.

“Proses tersebut terpaksa dihentikan akibat Sungai Semanta juga mengalami ketidakcukupan air untuk Loji Rawatan Air kerana Empangan Kelau Baru mereka masih belum siap,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau berkata demikian mengulas isu empangan air Sungai Langat yang terpaksa dihentikan pengeluaran sehingga air berada di tahap selamat.

Bagaimanapun, ujarnya kini Sungai Langat mengeluarkan 230 juta liter sehari selepas menerima air daripada Sungai Semantan.

“Kita melakukan Inter-Basin Transfer daripada Empangan Semenyih sebanyak 70 juta liter sehari menjadikan keluaran Sungai Langat sebanyak 300 juta liter sehari.

“Pembenihan awan turut dilakukan khususnya di Empangan Sungai Langat supaya ia dapat terus beroperasi dengan baik tanpa sebarang masalah kekurangan air,” katanya.

Share on Myspace