Ada NGO jadi batu loncatan pemimpin

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Aktivis-aktivis badan bukan kerajaan (NGO) diharap lebih berhati-hati memandangkan ada pihak tertentu mewujudkan NGO sebagai batu loncatan bagi memperluaskan pengaruh peribadi.

Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata NGO diharap tidak dijadikan medan memperjuangkan kepentingan individu tertentu sahaja.

Sedangkan katanya ada anggota masyarakat tertarik dengan kegiatan NGO untuk terbabit sama.

“Oleh itu kegiatan badan berkenaan perlu diselarikan dengan kepentingan masyarakat setempat dan budaya politik negara,” katanya ketika merasmikan Persidangan NGO 2015 di Kelantan Trade Centre semalam.

Teks ucapannya dibaca Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Yakob. Hadir sama anggota Exco, Dr Ramli Mamat dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI), Zamri Ismail.

Sebanyak 46 NGO menyertai persidangan itu termasuk Aman Palestin Malaysia, Pertubuhan R, Jabatan Amal Negeri Kelantan, KB Care, Muslim Care Malaysia, Nisa’ Kelantan, Kelab Kenegaraan Yik dan Cakna Ummah.

Menteri Besar juga mencadangkan kajian mengenai NGO harus dipergiatkan selaras dengan perkembangan politik semasa.

“Ini kerana ada NGO yang tidak jelas matlamatnya. Sebenarnya ada beberapa faktor yang mendorong kepada penubuhan NGO.

“Ada pandangan pula mengatakan parti politik sukar dijadikan struktur bagi menyuarakan pelbagai kepentingan masyarakat,” ujarnya.

Kata beliau sepatutnya NGO menjadi suara ketiga bagi masyarakat untuk membela penduduk miskin dan membantu mereka yang ditimpa sesuatu musibah.

Menurutnya NGO juga berperanan sebagai pengimbang kepada masyarakat sama ada di peringkat negeri atau negara.

“Jika kita tinjau sejak pertengahan 1970-an, peranan NGO di negara maju mengalami pertumbuhan yang berlipat ganda.

“Semasa Kelantan dilanda bah besar pada akhir tahun lepas, usaha-usaha pemulihan semula mangsa banjir banyak dibantu NGO sama ada tempatan dan negeri lain.

“Saya mengambil kesempatan di sini mengucapkan berbanyak terima kasih dan penghargaan di atas sumbangan yang diberikan NGO terbabit,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan MPKB-BRI menjadikan Taman Hijau berhampiran Dataran Rehal sebagai lokasi pertama dijadikan Laman Sejahtera untuk kegiatan NGO. - HARAKAHDAILY 7/9/2015

Share on Myspace