TPPA: Bentang 'cost benefit analysis' di Dewan Rakyat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memerhati dengan teliti perkembangan isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) melibatkan 12 negara anggota termasuk kuasa-kuasa dunia seperti Amerika Syarikat dan Jepun.

"Difahamkan segala proses rundingan telah berakhir pada Ogos yang lalu di Hawaii," ujar ketuanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam satu kenyataan.

Kini, katanya fasa yang tinggal hanyalah fasa menandatangani perjanjian tersebut yang dijangka akan dimeterai pada penghujung Oktober depan.

Menurutnya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) yang mewakili kerajaan dalam rundingan tersebut menjelaskan rundingan negara anggota telah pun mencapai kata putus dan hanya menunggu masa untuk ditandatangani sebelum ia dikuatkuasakan.

"Memandangkan perjanjian perdagangan TPP ini lebih bersifat kontroversi berbanding perjanjian hubungan perdagangan dua hala Malaysia dengan negara-negara luar, maka tindakan membentangkan draft rundingan tersebut ke dalam Dewan Rakyat merupakan sesuatu yang mustahak," katanya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Justeru, tegasnya DPPM mendesak agar pihak kerajaan melakukan 'Cost Benefit Analysis' (CBA) ke atas TPP supaya ahli Dewan Rakyat dapat melakukan penilaian yang lebih terperinci terhadap baik buruk kesan perjanjian ini terhadap kepentingan rakyat dan negara.

Beliau berkata, laporan CBA yang tergantung sejak pertengahan 2014 seharusnya menjadi agenda utama sidang Dewan Rakyat Oktober depan.

"DPPM juga ingin sekali menegaskan bahawa PAS tidak akan berkompromi terhadap apa jua tindakan mahupun polisi yang boleh memberikan risiko kepada kedaulatan negara dan hak bumiputra di samping menjaga kepentingan rakyat marhaen yang merupakan 'stakeholders' kepada negara," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 8/9/2015

Share on Myspace