Sanggup rugi kerana mahu mengejar hadiah misteri?

AIMY MOHAMED YUSOFF | .

PUTRAJAYA: Ia menyedihkan apabila membaca berita mengenai seorang wanita yang sanggup menyerahkan wang sebanyak RM100,000 semata-mata mahu mendapat hadiah misteri yang ditawarkan sindiket gores dan menang.

Walaupun sudah dihebahkan banyak kali oleh media tentang kegiatan sindiket ini, namun masih ada orang yang terpedaya dengannya.

Kisah seorang mangsa iaitu ibu tunggal Jenice Lin, 45, (bukan nama sebenar) yang sanggup memandu di tengah malam dari Kuala lumpur ke Genting Highlands bersama seorang lelaki yang tidak dikenalinya, semata-mata mahu mengeluarkan wang ribuan ringgit untuk diserahkan kepada lelaki berkenaan adalah amat mangharukan.

Padahnya apabila hadiah misteri yang dikejar-kejarkannya itu hanya berupa tilam jed dan peralatan elektrik yang tidak seberapa nilainya berbanding dengan jumlah wang yang diserahkannya itu.

Begitu juga dengan kisah pasangan pesara guru di Negeri Sembilan yang sanggup menyerahkan wang sebanyak RM200,000 kepada ejen sindiket gores dan menang.

Pihak bank sendiri yang mungkin terkejut dengan jumlah wang yang begitu banyak yang mahu dikeluarkan mereka telah menasihati mereka agar tidak berbuat demikian, namun mungkin agaknya oleh kerana terlalu ghairah untuk mendapat hadiah misteri yang dijanjikan, mereka mengabaikan nasihat itu.

Pengerusi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Reihana Abd Razak berkata kedua-dua kes itu merupakan antara kira-kira 500 kes berkaitan sindiket gores dan menang yang difailkan kepada pihaknya dari Januari hingga Ogos lepas yang membabitkan kerugian lebih RM4 juta.

Diminta mengulas mengenai sebab kes sedemikian mudah berlaku, beliau berkata daripada penyelidikan TTPM, mangsa didapati mempunyai sikap mudah percaya di samping berperasaan tamak.

"Kerana sikap itulah mereka berfikiran sempit. Walaupun masih ada masa untuk mereka menyedari terdapat penipuan dilakukan terhdap mereka, namun mereka mengambil pendekatan tidak mahu keluar (dari penipuan itu) dan meneruskan aktiviti tersebut kerana sikap tamak itu," katanya.

Daripada data kes yang difailkan, ia menunjukkan majoriti kes tidak mempunyai unsur paksaan antara mangsa dan ejen sindiket bermula daripada tindakan menggores hingga kepada pembayaran wang yang dilakukan secara rela oleh mangsa, tambahnya.

Reihana juga berkata pihak peniaga yang terlibat dalam aktiviti ini didapati mendaftarkan perniagaan mereka sebagai syarikat kepunyaan tunggal, namun rata-rata individu berkenaan adalah sama cuma nama perniagaannya yang berbeza.

Sehubungan itu beliau mencadangkan supaya Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengehad atau tidak membenarkan pendaftaran perniagaan kepunyaan tunggal oleh individu yang sama jika mereka disyaki terlibat dengan aktiviti gores dan menang.

SSM juga mungkin boleh melengahkan permohonan pendaftaran perniagaan kepunyaan tunggal oleh individu sama dan menyemak status individu itu terlebih dahulu dengan pihak penguat kuasa KPDNKK atau pihak polis bagi mengetahui jika terdapat aduan sebelum ini terhadap individu berkenaan, katanya.

Reihana turut mencadangkan agar kerjasama bersepadu secara besar-besaran dilakukan antara KPDNKK dan agensi penguatkuasaan berkaitan bagi mendidik orang ramai agar tidak terjebak dengan aktiviti gores dan menang.

"KPDNKK juga dicadangkan agar tampil dengan idea seperti menayangkan iklan di televisyen mengenai penipuan gores dan menang selain meletakkan cogan kata atau tag line yang dapat memberi impak agar masyarakat menjauhi sindiket gores dan menang," ujarnya. - Bernama

Share on Myspace