Kelantan mahu pastikan GLC berdaya maju

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Kegagalan memanfaatkan tempoh tangguh (grace periods) bayaran pinjaman bank selama tiga tahun bagi menanam sawit dikenal pasti antara punca masalah kewangan dihadapi PMBK Sawit sekarang.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata sepatutnya selepas bank memberi pinjaman PMBK Sawit memulakan kerja-kerja menanam.

Katanya kelazimannya kelapa sawit mengeluarkan hasil dalam tempoh dua tahun setengah.

“Malangnya dalam masa diberi itu kerja-kerja menanam tidak dilakukan oleh pengurusan lama syarikat itu sehingga ia menghadapi masalah aliran tunai sekarang,” katanya di sini.

Bekas kakitangan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) menggunakan media sosial mendesak Menteri Besar dan anggota Exco meletak jawatan kerana mendakwa gagal mengurus syarikat milik kerajaan (GLC).

Facebooker terbabit juga mendakwa tindakan meminta pengurus besar lama yang memberi keuntungan kepada PMBK Sawit meletak jawatan sebagai punca agensi itu bermasalah.

Mohd Amar juga berkata sebelum ini kerajaan negeri sudah meragui usaha pengurusan lama PMBK Sawit hendak membeli ladang milik Yayasan Islam Kelantan (Yik).

Namun katanya pihak pengurusan syarikat ketika itu memberi jaminan terhadap keupayaan mereka membayar balik pinjaman.

Difahamkan hasil pembelian ladang milik Yik itu menyebabkan PMBK Sawit terpaksa membayar pinjaman bank sebanyak RM500,000 sebulan.

“Jumlah hutang bank yang dibayar setiap bulan begitu tinggi. Itu belum lagi dikira ladang PMBK Sawit di Panggung Lalat yang perlu ditanam semula. “Ini sudah tentu memerlukan kos yang besar. Ladang getah yang diambil alih daripada ladang milik Felcra sudah tua menyebabkan hasilnya semakin kurang,” katanya.

Oleh itu kata beliau pengurusan PMBK Sawit baru-baru ini merancang menjual semula ladang yang dibeli terbabit kepada Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

Menurutnya ladang yang dibeli daripada Yik terbabit terletak di Relai, Gua Musang akan dijual kepada PKINK biar pun ada syarikat lain yang juga berminat.

PMBK Sawit sekarang dipengerusikan Adun Wakaf Bharu, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Kata beliau juga kerajaan negeri mahu memastikan GLC meneliti setiap perancangan dibuat bagi mengelakkan berulang kesilapan lama. - HARAKAHDAILY 8/9/2015

Share on Myspace