Pandangan kedua: Umno BN patut sertai Kongres Rakyat

HARAKAHDAILY | .

KONGRES Rakyat yang akan diadakan 12 September nanti dijangka menjadi rangsangan kepada rakyat untuk bangkit menyatakan pandangan dan suara mereka terhadap ketidakadilan kerajaan dalam banyak perkara. Adakah melalui kongres seperti itu mampu menyelesaikan tekanan dihadapi rakyat dan membawa perubahan kepada sistem pentadbiran negara?

Pemangku Penolong Pengarang Berita Harakah, NYZA AYOB mendapatkan butiran lanjut mengenainya daripada Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad. Ikuti wawancara tersebut:

WARTAWAN: Apa usaha PAS untuk menarik penyertaaan orang ramai dalam Kongres Rakyat nanti?

USTAZ IDRIS AHMAD: Rakyat tahu kepincangan yang berlaku dalam negara. Ia bukan sahaja untuk mencari penyelesaian berkaitan orang Melayu sahaja, malahan berlaku kepada semua masyarakat tidak kira agama.

Kongres ini juga mendapat sokongan daripada NGO Sabah dan Sarawak yang mewakili masyarakat pribumi di sana.

Maka sebab itu saya sarankan kepada semua rakyat yang sayang dan cintakan negara kita agar sama-sama kita meramaikan Kongres Rakyat ini.

Nama Kongres Rakyat adalah untuk membawa isu-isu rakyat dan ada usul-usul rakyat yang kita buka melalui Facebook dan emel yang diviralkan.

Ia bagi membolehkan rakyat membawa usul-usul yang akan dijadikan input untuk kita hadamkan, bahaskan dan kita akan buat plan tindakan rakyat.

Plan tindakan rakyat ini tidak lain supaya rakyat mempunyai kesedaran untuk bangkit menolak kepimpinan kerajaan khususnya dalam menghadapi PRU ke-14.

PAS mengharapkan ia akan dijadikan satu rangsangan kepada rakyat semua untuk bangkit menentang kerajaan Umno BN melalui saluran yang sah. Insya Allah kita harapkan PAS menjadi salah satu penyumbang untuk menggerakkan kebangkitan rakyat, bersama-sama dengan NGO-NGO yang membawa suara rakyat.

Selain masyarakat awam, siapakah yang patut menyertai Kongres Rakyat?

Kita buka kongres untuk semua parti-parti politik. Kita juga menjemput kementerian-kementerian untuk hadir ke kongres. Mereka mesti mengambil sikap untuk sama-sama menyertai Kongres Rakyat yang tanpa sempadan. Begitu juga kita mengajak Umno-BN menyertai Kongres Rakyat bukanlah menunjukkan kita ingin bekerjasama dengan parti tersebut.

Tidak kira siapa dan parti apa digalakkan menyertai Kongres Rakyat. Umno-BN patut menyertai Kongres Rakyat untuk mendengar sudut pandangan second opinion yang telah sedar tekanan hidup yang dialami.

Rakyat makin tertekan dengan bermacam-macam perkara termasuklah GST, kenaikan harga barangan, kejatuhan dolar dan keperluan asasi yang semakin meningkat.

Begitu juga dengan soal pemilikan rumah yang masih lagi tidak dimiliki rakyat berpendapatan rendah dan sederhana walaupun kerajaan telah membuat projek kononnya rumah mampu milik. Daripada segi amalan dan praktikalnya sebagaimana yang kita dapat lihat bukanlah rumah mampu milik. Jadi, apabila Umno-BN hadir ke kongres itu nanti, mereka akan tahu kesulitan yang dihadapi rakyat hari ini.

Kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sering digambarkan kerajaan memahami segalagalanya permasalahan rakyat, sedangkan hakikatnya rakyat masih dibalut dengan kesengsaraan.

Ya, apa yang kita mahukan kerajaan mendengar segala kesengsaraan rakyat. Kerajaan yang ada hari ini perlu berubah dan bukan sahaja menjadi pendengar yang baik tetapi perlu bertindak dengan baik. Jika hanya mempunyai maklumat tetapi tidak mengambil apa-apa tindakan, ia tidak akan mendatangkan apa-apa hasil.

Masih ada tanggapan Kongres Rakyat ini tidak akan mampu menyelesaikan isu rakyat. Bagaimana PAS dapat menangkis tanggapan tersebut?

Semua segmen kita kena ambil. Jangan hanya guna satu sahaja pendekatan. Tidak semua suka dengan cara forum.

Mungkin mereka suka dengan cara demonstrasi. Begitu juga tidak semua sukakan perhimpunan, tetapi suka berforum atau berkongres.

Semua itu tidak perlu kita salahkan antara satu sama lain.

Kita menyokong tuntutan Bersih dan bukan kita menentang apa yang dituntut Bersih itu. Isu pulihkan sistem pilihan raya, SPRM dan tegakkan demokrasi, semua itu kita setuju. Begitu juga apabila kita mengadakan Kongres Rakyat, kita boleh mengambil segmen masyarakat.

Segala pandangan rakyat itu akan kita ambil kira dan ia untuk mengatasi masalah-masalah, termasuklah bagaimana mengatasi masalah ekonomi negara. Apa yang ingin kita tekankan, kesedaran daripada rakyat itu penting bahawa mereka ditekan pemerintah dengan begitu teruk.

Bagaimana dengan resolusi kongres itu nanti?

Resolusi daripada Kongres Rakyat akan kita panjangkan kepada pihak kerajaan dan juga kepada rakyat itu sendiri. Apa yang kita inginkan ialah rakyat mempunyai kesedaran politik yang tinggi. Walaupun ramai yang dapat akses maklumat melalui media sosial, tetapi rakyat masih menjadi mangsa kerakusan kerajaan Umno BN hari ini. Ada yang masih belum mempunyai tahap kesedaran yang tinggi. Apa yang kita inginkan juga, kongres ini akan menjadi agen kepada transformasi dan perubahan rakyat. - HARAKAHDAILY 8/9/2015

Share on Myspace