PAS syor kemeterian wujudkan pembantu guru

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan perlu mewujudkan juga pembantu guru bukan sahaja warden asrama seperti yang dicadangkan oleh Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

"Pembantu guru bertujuan  untuk meringankan bebanan guru-guru. Dengan ini guru-guru hanya akan menumpukan pembelajaran dan pengajaran (P&P) sahaja," kata Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Beliau berkata, guru juga boleh menumpukan pembangunan syaksiah pelajar apabila mereka mempunyai pembantu untuk menyelesaikan kerja-kerja perkeranian seperti memasuki data dan markah pelajar.

Tambahnya, guru mesti dielakkan daripada dibeban dengan kerja-kerja yang tidak ada kaitan dengan P&P seperti menghantar murid ke hospital, menjaga lalu lintas, membawa pelajar ke pertandingan antara sekolah-sekolah, memungut yuran kelas, PIBG dan lain-lain tugas yang mengganggu tugas sebagai seorang pendidik.

Menurutnya, pembantu guru boleh diambil daripada mereka yang mempunyai kelulusan SPM sahaja, misalnya setiap 10 orang guru ada seorang pembantu guru.

"Saya pernah cadang di dalam Parlimen tentang perkara ini, tetapi dijawab oleh menteri, cadangan ini baik, malangnya masalah kewangan menjadi halangan.

"Kita mengharapkan supaya kementerian kena peka kepada perkara ini," ujar Ahli Parlimen Bukit Gantang itu lagi.

Menurutnya, biarlah guru merasa tenang dan gembira apabila hadir ke sekolah yang kesannya akan diperolehi oleh murid-murid kerana guru dapat memberi tumpuan kepada mereka. - HARAKAHDAILY 8/9/2015

Share on Myspace