Apakah ada penghujung kepada kejatuhan Ringgit?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Nilai Ringgit sudah mencecah lebih RM4.30 berbanding USD1.

Rakyat yang perlu ke luar negara, membiayai pelajaran anak di luar negara, menunaikan haji, terlibat dengan bisnes yang memerlukan import dan pelbagai lagi sudahpun terasa gelisah.

Solusi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menampilkan kabinet yang lebih kuat dan bersatu untuk memacu pentadbiran negara dengan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal langsung tidak berkesan menstabilkan keadaan ekonomi dan juga keyakinan pelabur.

Dalam masa 41 hari semenjak Muhyiddin dipecat, nilai Ringgit bagaikan jatuh di atas gelongsor - susut 13% dari RM3.814 pada 28 Julai 2015 ke RM4.303 (7 Ogos 2015).

"Apakah perlu Ringgit mencapai nilai RM4.5 atau RM5 barulah kerajaan akan memberi perhatian?" tanya Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man daalm satu kenyataan.

Katanya, manakala pada waktu ini, para ahli kabinet terus kesibukan dengan tugas-tugas seperti mencari alamat betul bagi menghantar bil DBKL kepada penganjur perhimpunan Bersih 4, menyaksikan isteri bermain badminton, membuat spekulasi akan siapa yang bakal dipecat daripada Umno dan juga mengheret mereka yang terlibat dengan perhimpunan aman ke mahkamah.

Tambahnya, ada pula media yang cuba mensensasikan cerita konspirasi Justo bagi mengalih perhatian daripada kejatuhan nilai Ringgit yang kronik.

Dengan Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang sibuk menyelamatkan karier politik, Timbalan Perdana Menteri yang sibuk mempertahankan Najib, ada sesiapa yang sedang mentadbir negara ini, soal beliau.

Beliau turut mempersoalkan apakah sudah ada strategi untuk menstabilkan Ringgit, apakah sudah ada perancangan bagi mengurangkan kesan inflasi kepada rakyat dan bolehkah GST disifarkan?

"Apakah Najib dan pasukannya ada masa memikirkan semua ini selain cuba memperbaiki imejnya yang umpama kerja membalut kertas dengan api?

"Apakah ada penghujung kepada kejatuhan Ringgit? Ya Allah, selamatkan negara ini," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 9/9/2015

Share on Myspace