Jerebu: Kerajaan dilihat masih gagal cari jalan keluar

HARAKAHDAILY | .

PAS kecewa dengan kegagalan Kerajaan Umno BN dalam menangani isu jerebu yang sudah menghantui negara ini sekian lamanya.

Bacaan indeks Pencemaran (IPU) tidak sihat yang dicatatkan melebihi 100 di tujuh buah kawasan di empat buah negeri semalam adalah satu penanda aras kepada prestasi Kerajaan Pusat yang masih dilihat gagal untuk mencari jalan keluar dari kemelut ini khususnya dengan negara jiran terdekat Indonesia.

Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Pusat ingin mendesak Kerajaan Pusat agar mengambil tindakan drastik untuk membantu Kerajaan Indonesia agar masalah jerebu dapat dihentikan dengan seberapa segera.

PAS tidak mahu masalah jerebu berterusan sehingga mencecah tahap IPU yang sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (> 300) sehingga mengancam keselamatan dan kesihatan rakyat serta menjejaskan aktiviti Ekonomi seperti yang pernah berlaku di Muar Johor satu ketika dahulu.

Bacaan IPU di Muar pernah mencatatkan kenaikan dari IPU 157 sehingga 383 hanya dalam tempoh 20 jam dan seterusnya meningkat sehingga mencecah tahap kritikal pada bacaan IPU 746.

Kegagalan Kerajaan Pusat untuk bertindak dengan cepat dikhuatiri juga boleh menyebabkan darurat diisytiharkan seperti yang pernah berlaku di Sarawak pada tahun 1997 pada tahap bacaan IPU 800 malah sekali lagi pada tahun 2005 di Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang pada bacaan IPU 531 dan 529.

Selain mengawal serta memulihkan situasi jerebu, Kerajaan Pusat melalui kementerian yang berkaitan juga didesak untuk mewawarkan langkah-langkah perlindungan kepada rakyat melalui media massa dengan lebih agresif termasuk menyediakan topeng @ ‘mask’ kepada Rakyat dengan percuma khususnya kepada pelajar-pelajar yang sedang menduduki peperiksaan UPSR.

PAS melalui Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar ingin menasihati seluruh lapisan Rakyat agar mengambil langkah-langkah perlindungan yang sewajarnya, antaranya adalah:

1. Mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah.
2. Menggunakan penutup hidung dan mulut jenis 3 ply.
3. Kurangkan merokok.
4. Menggunakan penghawa dingin ketika memandu.
5. Banyakkan minum air.
6. Basuh tangan serta muka dengan sabun dan air bersih selepas melakukan/menghadiri aktiviti luar.

Pesakit asthma dan jantung khususnya juga dinasihati agar mengambil langkah-langkah yang lebih ketat untuk melindungi diri dari ancaman jerebu.

Semoga ancaman jerebu dapat beransur pulih dengan seberapa segera insya Allah. Sama-sama kita berdoa agar Allah jauhkan diri, keluarga dan negara kita dari segala bentuk ancaman khususnya dari ancaman jerebu ini. - HARAKAHDAILY 9/9/2015

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Pusat

Share on Myspace