Apa ada antara Jokowi dengan PAN?

AHMAD MUHAJIR | .

MEDIA, pengamat politik bahkan rakyat kebanyakan atau masyarakat awam heboh di Indonesia, terutama di Jakarta  memperkatakan pertemuan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Republik Indonesia Setya Novanto dari Parti Golongan Karya dan Timbalannya Fadli Zon dari Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) pimpinan Prabowo Subianto dengan bakal calon Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di New York beberapa waktu yang lalu, apalagi ini menjadi senjata bagi musuh-musuh politiknya terutama dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), pimpinan Megawati Sukarnoputeri, yang juga partinya Presiden Jokowi.

Memang kebetulan mereka di New York sampena perjumpaan speaker dan timbalan Parlimen dalam persidangan Inter Parliamentary Union dan membawa 20 orang rombongan dengan belanja perjalanannya sebanyak Rp.4.6 billion atau sekitar RM1.4 juta. Namun sebagai negara demokrasi di Indonesia yang semua orang boleh bercakap dan bersuara, ada yang meminta agar Setya Novanto dan Fadli Zon berundur dari jawatan Speaker dan Timbalan Speaker, namun tunggu dahulu sebelum itu berlaku mereka kena dihadapkan dahulu kepada Mahkamah Dewan Kehormatan (MDK) Dewan Perwakilan Rakyat (Parlimen).

Yang mengadukannya ke MDK adalah Budiman Sudjatmiko, Charles Honoris dari PDI-P, Maman Imanulhaq dari Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), Akbar Faizal dari Parti Nasionalis Demokrat (NasDem) dan Amir Uskara dari Parti Persatuan Pembangunan (PPP), sejauh mana kajian siasatan dan keputusan yang seadil-adilnya boleh dibuat oleh MDK ini.

Sebab apabila MDK memutuskan mereka tidak bersalah selesai sudahlah persoalannya, tetapi nampaknya preseden ini peluang bagi Presiden Jokowi, untuk melemahkan lawannya dahulu iaitu Kelompok Merah Putih (KMP) pimpinan Prabowo, walaupun ada yang mengatakan KMP dan Kelompok Indonesia Hebat (KIH) pimpinan Jokowi sudah tidak wujud lagi.

Mahkamah ini dipengerusikan oleh Dr Kyai Haji Surahman Hidayat,MA (Ketua Dewan Syariah Parti Keadilan Sejahtera-PKS) dengan dibantu sembilan orang anggota dari berbagai parti yang ada di DPR. Nampak-nampaknya bagi sebahagian besar ahli MDK tiada salah atau masaalah yang perlu dipersoalkan dengan perjumpaan mereka dengan kandidat Presiden USA itu, hanya sahaja Donald Trump bakal mewakili Parti Republik ini bersaing dengan Jeb Bush, adik kandung kepada mantan Presiden George W.Bush,Jr dan anak kepada mantan Presiden George W.Bush, Sr yang akan berhadapan dengan Hillary Rhondam Clinton calon dari Parti Demokrat.

Hanya yang dipersoalkan  dan ini masaalah besar bagi umat Islam, bukan sahaja di Indonesia, tetapi di Amerika Syarikat, putera Fred Trump penganut agama Fresbitarian salah satu mazhab dalam Kristian Protestant Reform yang sangat kuat menentang Islam, malahan setelah peristiwa tragedi 11 September 2001 yang meruntuhkan World Trade Centre New York, dia menentang keras pembinaan masjid dan Islamic Centre di Grand Zero, dekat WTC itu dan jelas berpihak kepada pemerintahan regim Zionis Israel.

Pemaju perumahan di Bandar New York dan mempunyai beberapa buah hotel, warisan bisnis ayahnya Donald Trump lahir 14 Jun 1946 ini mempunyai kekayaan bersih sebanyak 3.2 billion US dollar. Yang pasti keturunan dan agamapun bakal Presiden Amerika Syarikat ini, yang jelas mesti sudah ada ikatan janji dengan Komuniti Yahudi yang mempunyai lobi dan pengaruh kuat dalam segala bidang, terutama politik, ekonomi dan media di Amerika Syarikat, sebagai prasyarat untuk mudah menang dalam Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat pada November 2015 akan datang.

Nah kembali soal politik dalam negara Indonesia, yang keadaan politiknya penuh dinamik dan cepat berubah, kini tiba-tiba Parti Amanat Nasional (PAN) yang diasaskan oleh Prof Dr HM Amien Rais dan kawan-kawannya setelah reformasi Mei 1998 ini, tahun lalu PAN di mana kini pengerusi (Ketua Umum) nya adalah Zulkifli Hassan, Speaker Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) dan merupakan besan kepada Amien Rais ini adalah pendokong KMP, berubah pula mendokong pemerintahan Presiden Jokowi, memang tidak berniat mahu masuk kabinet, tidak mustahil PAN juga paling kurang tiga jawatan menteri kabinet.

Memang zahirnya PAN berbasa-basi untuk tidak mahu jawatan menteri, mendukung pemerintahan hanya dengan  alasan untuk memperbaiki dan memperkukuh kembali perekonomian Indonesia, yang kini morat-marit semakin parah gawat dan merisaukan rakyat banyak terutama rakyat miskin dan mereka yang berpendapatan rendah. Apakah kini Jokowi semakin berani dan percaya diri tidak begitu mempedulikan rakan-rakannya, iaitu dari partinya sendiri PDI-P, PKB, NasDem dan Hanura?

Begitu pula dengan sebagai salah satu parti umat Islam, yang bernuansa Islam ini yang secara tidak langsung dilahirkan dari rahim pertubuhan Islam Muhammadiyah. Ternyata langkah dan tindakan PAN ini dikritik oleh kalangan Muhammadiyah atau mantan ahli parlimen dari PAN, yang menilai langkah sebagai sangat keliruh dan salah, atau ini merupakan kejayaan kepada ikhtiar yang dilakukan oleh  Megawati yang sudah berhasil membujuk PAN untuk mendokong pemerintahan Jokowi dan JK ini.

Ini persoalan umat Islam di Indonesia dalam berpolitik terlalu susah kembali untuk bersatu dan terlalu senang dipecahkan oleh parti lawan. Hanya sekedar mengkhayal mengimpikan bersatunya umat Islam, sebagai wujudnya parti Islam Masyumi dari tahun 1945 sampai 1947 iaitu semuanya bersatu dalam Masyumi namun 1947, Syarikat Islam keluar kembali menjadi Parti Syarikat Islam Indonesia (PSII), begitu pula tahun 1952 Nahdlatul Ulama (NU) keluar pula dari Masyumi dan mengasaskan parti NU, namun syukur setelah pilihan raya umum tahun 1955.

Masyumi, NU, PSII dan Parti Islam Perti bersatu dalam parlimen (DPR) mahupun Konstituante (pembuat dan penggubal perlembagaan dan dasar Negara), mereka bersatu, satu nada dan satu irama, memperjuangkan Islam untuk menjadi asas atau dasar kepada Negara Republik Indonesia, yang akhirnya ditentang habis-habisan oleh Presiden Sukarno, bersama partinya Parti Nasional Indonesia (PNI), Parti Komunis Indonesia (PKI) dan tentera.

Sepatutnya umat Islam Indonesia dan juga di Malaysia, jangan kembali membiarkan orang tua kehilangan tongkat atau membiarkan pisang berbuah dua kali atau terjatuh untuk kedua kalinya dilobang yang sama. Ini tidak mustahil akan banyak menguntungkan bagi pemerintahan Presiden Jokowi dan JK! – HARAKAHDAILY 9/9/2015

Share on Myspace