Kongres Rakyat: Gamis fokus empat isu utama

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) meletakkan empat fokus utama dalam perbahasan pada Kongres Rakyat yang dijadualkan pada 12 September ini.

Presiden Gamis, Mohd Imran Md Ishak ketika dihubungi berkata antara isu yang ditekankan adalah membabitkan soal pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pendidikan percuma, kebebasan akedemik dan kadar pengangguran.

"Kongres Rakyat ini adalah satu ruang atau platform terbaik untuk rakyat terutamanya mahasiswa menyuarakan luahan serta pendapat mereka.

"Idea yang sangat bagus, pertama kali diadakan dan kami dari mahasiswa merasakan ini peluang untuk mahasiswa tampil berhujah serta mencari satu penyelesaian dalam memastikan pendidikan negara lebih baik," katanya kepada Harakahdaily.

Menurut beliau, Gamis pusat turut menghantar sepuluh orang wakil pada program tersebut serta perbahasan.

"Peringkat pusat kita hantar sepuluh orang wakil, bagi peringkat negeri belum dipastikan berapa yang hadir.

"Selain itu Gamis turut menyediakan wakil pembahas yang akan berhujah membawa empat isu utama membabitkan mahasiswa," katanya lagi.

Dijangkakan lebih 200 NGO akan menyertai Kongres Rakyat yang akan berlangsung di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam pada Sabtu ini. - HARAKAHDAILY 9/9/2015

Share on Myspace